KL ‘ternoda’ lagi

PENCEMARAN udara berkurang 45 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka kualiti alam sekitar akan mengalami kemerosotan bermula Isnin berikutan kebanyakan industri akan memulakan operasi.

Felo Penyelidik Utama LESTARI-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, kualiti alam sekitar mencatat 45 peratus lebih baik sepanjang tempoh itu berikutan kekurangan pembebasan gas rumah hijau namun keadaan itu dijangka berubah tidak lama lagi.

“Keadaan alam sekitar ini tidak terus berubah bermula Isnin, sebaliknya ia mengambil masa seminggu dan selepas itu kita lihat kemerosotan kualiti udara berbanding sebelumnya.

“Sepanjang tempoh PKP, kita dapat merasai kualiti udara yang sangat baik, tahap pencemaran sungai berkurangan dan penurunan suhu permukaan di bandar utama.

“Apabila PKP tamat, keadaan kembali seperti sedia kala, kualiti alam sekitar akan terus merosot,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak menjelaskan penurunan suhu permukaan tanah di pusat bandar seperti Kuala Lumpur mencatatkan julat antara tujuh hingga 11 darjah Celsius ketika tempoh PKP.

“Berdasarkan data ini, dapat kita melihat pengurangan jumlah kenderaan di dalam bandar menyumbang kepada penurunan suhu permukaan namun disifatkan sebagai kesan sementara saja.

“Saya jangka kenaikan suhu kembali kepada paras sebelum PKP bermula minggu ini jika arahan melonggarkan PKP diteruskan.

“Ini kerana pengguna lebih cenderung menggunakan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam kerana bimbang penularan virus Covid-19 selain faktor masa menunggu dijangka lebih lama kerana mengekalkan penjarakkan sosial di dalam tren atau bas,” katanya.

Menurutnya, ini antara kesan dirasai sepanjang tempoh mendatang dan kualiti alam sekitar juga akan kembali kepada tahap sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan