Kluster Sala: Penularan mungkin akibat melawat pesakit di hospital [METROTV]

AMALAN melawat pesakit di hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 membabitkan Kluster Sala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga lain.

“Walaupun tiada kes positif Covid-19 dikesan daripada saringan di hospital itu, namun semua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit dikesan positif.

“Jangkitan Covid-19 seterusnya merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga.

“Dikhuatiri amalan melawat hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, selain itu hasil siasatan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat antara satu sama lain.

“Ini membantu penularan yang meluas dalam kluster ini meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, satu kes baharu Kluster Tawar menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster ini sebanyak 47 kes.

“Seramai 1,490 orang disaring dalam kluster ini setakat 12 tengah hari, hari ini.

“Dalam saringan di Kedah seramai 1,195 disaring dan 40 daripadanya dikesan positif manakala 297 individu masih menunggu keputusan.

“Selain itu, seramai 286 disaring di Pulau Pinang dan tujuh kes dikesan positif manakala 63 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, bagi Kluster Sala pula dua kes baharu dilaporkan di Kedah menjadikan jumlah kes positif lapan kes.

“Di Pulau Pinang seramai enam individu disaring dan tiada dikesan positif manakala dua masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan,” katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19