Kluster Sivagangga: 4 mukim dikenakan PKPD hingga 30 Ogos [METROTV]

EMPAT mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dengan semua masjid dan rumah ibadat ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat.

Selain itu, kira-kira 7,000 penduduk kawasan berkenaan akan disaring selepas penularan kluster Sivagangga.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, solat jemaah pula hanya dibenar dihadiri tiga individu sahaja.

“Mengambil kira 11 kes baharu yang berpunca daripada kluster Sivagangga di Kedah membabitkan empat mukim, kerajaan negeri memohon untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran dalam radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh di mukim Hosba, Kubang Pasu.

“Selain itu, ia juga membabitkan Kampung Pida Satu, Megat Dewa di mukim Ah; Kampung Bendang Dalam (mukim Binjal) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap),” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19, hari ini.

KAKITANGAN KKM mengambil sampel orang ramai yang melakukan ujian saringan berikutan penularan wabak Covid-19   yang dikaitkan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. FOTO Amran Hamid
KAKITANGAN KKM mengambil sampel orang ramai yang melakukan ujian saringan berikutan penularan wabak Covid-19 yang dikaitkan dengan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga. FOTO Amran Hamid

Katanya, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPD itu bermula hari ini sehingga 30 Ogos.

“Pelaksanaannya akan mengguna pakai SOP (prosedur operasi standard) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar.

“Petugas KKM akan membuat ujian saringan ‘swab test’ ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan yang terbabit,” katanya.

Ismail Sabri berharap apa yang berlaku di Kedah tidak akan berlaku di kawasan lain, terutama jika semua pihak bertanggungjawab dalam pematuhan SOP dikeluarkan KKM.

“Kebebasan bergerak kita mungkin boleh disekat apabila kes meningkat dengan mendadak dan perkara sama boleh berlaku di tempat lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan