Kluster Tawar: Lima murid sekolah di Kedah positif [METROTV]

BIARPUN semalam tiada kes penularan Covid-19 daripada Kluster Tawar dilaporkan namun hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan lima kes baharu dan semuanya membabitkan murid sekolah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan dalam kluster itu setakat ini sebanyak 70 kes.

Memperincikan kes baharu itu, Noor Hisham berkata, kelima-lima kes itu membabitkan murid sekolah rendah di Kedah.

Katanya, mereka dikenal pasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini.

“Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9197 iaitu seorang murid prasekolah (kes ini dilaporkan pada 16 Ogos 2020).

“Sehingga 25 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 3,547 orang disaring dalam kluster ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, siasatan KKM mendapati punca penularan jangkitan Covid-19 terhadap lima murid sekolah rendah berpunca daripada ibu kepada seorang mangsa.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

“Sekolah berkenaan sudah ditutup dan punca penularan masih dalam siasatan. Bagaimanapun, siasatan awal mendapati jangkitan berpunca daripada ibu kepada salah seorang murid berkenaan.

“Kemungkinan anak kepada wanita berkenaan berkawan dan menjangkiti murid lain,” katanya.

Noor Hisham berkata, jangkitan membabitkan generasi ketiga dan bukan generasi pertama atau kedua.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang menjalankan ujian saringan dan siasatan mereka terdedah dengan kanak-kanak terbabit.

“Mereka dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham mengesahkan siasatan awal KKM tidak mengesan kanak-kanak menjadi punca penyebaran aktif Covid-19 dalam kluster tertentu.

“Kita dapati ada laporan mengatakan kanak-kanak punca penyebaran Covid-19, bagi kita tidak kesan mereka menjadi punca ‘active spreader’ (penyebaran aktif) dalam kluster tertentu.

“Bagaimanapun, ada peratusan kanak-kanak terbabit tetapi tidak menjadi ‘super spreader’,” katanya.

Katanya, kanak-kanak yang didapati positif virus itu akan dilakukan pengasingan dan diberi rawatan secepat mungkin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19