Kluster Tawar, Sivagangga dipercayai sumber sama [METROTV]

JANGKITAN Covid-19 dalam Kluster Tawar di Kedah dan Kluster Sivagangga dipercayai daripada sumber sama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 14 sampel daripada Kluster Tawar diuji oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Kita sudah menerima laporan kajian bagi empat daripada sampel berkenaan dan mendapati virus mempunyai mutasi D614G.

“Virus Kluster Tawar ini (empat sampel) dibandingkan dengan tiga sampel virus daripada Kluster PUI Sivagangga dan hasil menunjukkan ketujuh-tujuh virus ini daripada clade sama,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, perkembangan itu mencadangkan Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber sama.

KEADAAN di Pekan Tawar, Baling, sunyi berikutan penularan wabak Covid-19. FOTO AMRAN HAMID

Beliau berkata, namun begitu, siasat lanjut masih dijalankan dan selain aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan Covid-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar turut dijalankan.

“Penilaian risiko mendapati taburan kes positif Covid-19 tidak tertumpu hanya di suatu lokaliti, penularan dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic serta virus D614G sama dengan virus Kluster PUI Sivagangga.

“Selain itu, kawasan penempatan agak padat; banyak pergerakan penduduk di dalam dan di antara daerah serta liputan saringan penduduk yang masih rendah (kadar positiviti lebih daripada satu peratus),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19