Kongsi ‘senyuman’ dalam Smile

ATURAN kehidupan penyanyi Katy Perry, 36, tampak begitu indah dengan pencapaian seni membanggakan serta kini bahagia berkeluarga.

Menghitung hari menimang cahaya mata sulung bersama tunangnya juga bintang Hollywood Orlando Bloom, hari-harinya pasti berbunga.

Ketika ramai menyifatkan tahun 2020 penuh badi, Katy atau nama sebenarnya Katheryn Elizabeth Hudson menolak ideologi itu.

Walaupun mengakui pelbagai dugaan menimpa termasuk pandemik Covid-19 ibarat mimpi buruk, dia bersyukur ada hikmah buat dirinya.

Selain tidak sabar kehadiran puterinya bila-bila masa saja, bulan ini dia turut melancarkan album baharunya berjudul Smile.

Kegembiraan berganda itu ternyata membuatkan Katy enggan mengoyak diari 2020 dalam

kamus hidupnya.

“Memang banyak yang saya bakal berikan pada bulan ini. Ia bulan yang sangat indah buat saya dan saya tidak mahu ketepikan tahun 2020 disebabkan ia tidak adil buat anak perempuan saya. Dialah sebenarnya hikmah pada tahun yang begitu berat dengan dugaan ini.

“Namun saya masih sangat teruja untuk berkongsi bahawa saya sudah bertemu ‘sinar’ semula menerusi album Smile yang dilancarkan ini. Saya sebenarnya mengharungi fasa yang sangat gelap untuk kembali tersenyum selepas kehilangannya pada 2017 dan 2018.

“Kemudian saya kembali menulis lagu ketika cuba keluar dari fasa di mana saya memang berdepan kemurungan teruk. Saya cakap kepada diri sendiri untuk terus berdansa walaupun air mata sedang berjurai,” katanya dalam temubual bersama Rap, baru-baru ini.

Terbuka membuat pendedahan itu, ternyata hidup Katy juga tidak terlepas jatuh ke lembah gelap sebelum ini. Luarannya mungkin dia nampak begitu ceria apatah lagi karyanya juga sentiasa menghidupkan suasana sebaik dipasang.

Namun, dia tidak menafikan tersiksa dengan berat apabila melalui fasa itu sendiri. Tidak berkongsi secara spesifik mengenainya, penyanyi Roar itu bagaimanapun tidak akan pernah melupakan bagaimana situasinya terjerat dalam kegelapan.

“Apabila berada dalam fasa kegelapan atau kemurungan, memang ia sangat sukar. Nak bangkit dari katil pun tidak larat, hilang motivasi, sepertinya segala-gala berada dalam garisan mati. Fikiran menjadi kosong atau cuba ditolak ke satu ruang dalam fikiran yang kita tidak mahu pergi pun.

“Ia seperti bersenam di mana kita sangat benci untuk menyarung baju senam tapi kena lakukannya juga disebabkan kita tahu aktiviti itu bagus. Itulah juga saya lakukan ketika berkarya dalam fasa mencabar itu.

“Walaupun secara peribadinya tenaga itu cuma setakat 30 peratus, saya gigihkan seolah saya tidak berpeluang bernafas pada esok hari. Saya sedar setiap kali berkarya, saya bertukar menjadi versi diri jauh lebih baik, berkuasa dan fikiran serta-merta memutar perspektif saya,” katanya.

KATY Perry huraikan mendapat sinar hidup semula dalam album.
KATY Perry huraikan mendapat sinar hidup semula dalam album.

Namun, muziklah sebenarnya yang menjadi lilin menerangi semula kegelapan dihadapinya. Katy enggan tewas dengan situasi itu memandangkan dia sendiri masih ada misi penting dalam hidup termasuklah tampil dengan album baharu terbabit.

Apatah lagi selepas berbadan dua, rezeki berkenaan serta-merta membawa semangatnya ke tahap yang lebih tinggi. Bahkan, sepanjang proses menyiapkan album itu, dia mengakui tenaganya jauh lebih kuat berbanding ketika dia tidak hamil.

“Saya cakap kepada diri supaya kena kuat, tiada siapa mampu patahkan semangat saya, dan saya harus dapatkan kembali senyuman itu. Mantra itu sekali gus diterjemah kepada lagu. Ia seakan merombak otak saya atau memprogram semula perspektif sehingga saya kembali ke landasan semula serta kembali tersenyum.

“Mujur saya pernah lakukan angkat berat sebelum ini sebelum kandungan semakin membesar. Cabaran yang saya hadapi sewaktu menyiapkan album ini adalah tidak dapat melakukannya dalam studio rakaman besar. Saya bersama abang ipar sekadar sediakan sistem yang sederhana di rumah sewaktu proses adunan dan ‘mastering’. Namun semuanya berjalan lancar.

“Apapun, saya lebih bertenaga apabila hamil di mana saya sangat bertuah dan bersyukur tubuh saya sangat kuat sepanjang tempoh ini. Lagipun saya sudah menulis lagu-lagu dalam album ini sebelum saya hamil lagi pun. Sudah dua tahun saya menulisnya secara kasual dan ambil masa juga untuk hasilkannya sebagai lagu sebenar,” katanya.

Katy juga mengakui dia sebenarnya tidak merancang langsung untuk menyentuh mengenai kerjaya seninya dalam masa terdekat. Bagaimanapun, dia tidak dapat menolak apabila idea untuk menyiapkan sepenuhnya album itu hadir tanpa terduga.

“Memang menyeronokkan apabila cuba berfikir di luar kotak dan tidak merancang pun untuk melakukan siri jelajah. Hakikatnya, saya tidak rancang pun untuk melancarkan album ini pada masa sama saya bakal bersalin,” katanya.

Dikenali dengan suntikan elemen pop yang cukup mampan dalam karyanya, Katy bagaimanapun seronok apabila sentuhan terhadap Smile berbeza kali ini. Yang pasti, pop masih keutamaannya namun dia akui hala tuju penulisan lagunya berjalan seiring dengan kematangan hidup.

“Secara muzikal dan sonik, Smile ada persamaannya dengan Prism dan Teenage Dreams iaitu pop sejati. Ketika itu, saya lebih banyak bereksperimen umpama rakaman untuk melepaskan diri demi memecahkan acuan terdahulu atau serlahkan siapa diri saya.

“Tapi kini saya kembali dengan bunyi pop yang lebih suci dengan sedikit elemen kerendahan hati, tanpa beriya-iya mencuba,

seperti sedia mengalir dalam diri saya. Bukannya transformasi melampau di mana saya tidak pernah terfikir untuk lakukannya kembali.

“Seperti mana saya hasilkan Thinking of You dan ET. Ia dua sisi yang sangat berbeza terhadap spektrum muzik saya. Apapun, saya tetap mahu kekalkan ia menarik seiring dengan perkembangan perspektif saya untuk disuntik dalam album ini,” katanya.

Kegagalan album Witness beri tekanan teruk

Pada Jun lalu, Katy pernah mendedahkan dia mengalami tekanan teruk dan berasa tidak selamat sejak hamil anak pertamanya dengan pelakon Orlando Bloom.

Situasi lebih tegang dilaluinya apabila album terakhir berjudul Witness dihasilkan pada 2017 dianggap gagal kerana tidak meledak dalam carta lagu popular seperti diharapkan.

Dalam satu temubual di The Seven’s Channel Morning Show Australia, Katy berkata, dia mengalami tekanan teruk dan sentiasa berasa tidak tenang sejak hamil.

“Kesihatan mental saya agak terjejas apabila album Witness dilihat tidak mendapat sambutan dan diterima dengan baik seperti album-album dihasilkan sebelumnya.

“Walaupun album Witness disenarai dalam carta Billboard 2000, tetapi hanya lagu Chained To The Rhythm sahaja popular manakala lagu-lagu saya yang lain tidak begitu bernasib baik.

“Sejujurnya, saya berasa amat sedih kerana kegagalan album Witness itu. Apatah lagi, ia adalah album terakhir. Saya menjadi sangat kecewa dan tertekan secara klinikal.

“Saya juga sering berasa tidak selamat dan harus lebih aktifkan diri. Sama ada secara emosi, rohani dan psikologi saya terjejas kerana sentiasa berada dalam keresahan yang tidak difahami,” katanya.

Dalam kerjaya muzik dibina, Katy sangat dikagumi ramai terutama peminat tegarnya. Malah, dia juga sudah mengecap tahap populariti tertinggi apabila memenangi banyak anugerah menerusi sejumlah lagunya yang hits.