Kontak jururawat positif Covid-19 sedang dikesan

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan aktiviti pengesanan dan ujian saringan kontak rapat Covid-19 termasuk semua pesakit yang dirawat seorang anggota kesihatan di sebuah klinik kesihatan di Ipoh.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, ia berikutan anggota kesihatan yang dimaksudkan merupakan kes positif Covid-19 yang dilaporkan semalam.

Beliau berkata, anggota kesihatan itu sudah menjalani saringan selepas menunjukkan gejala jangkitan saluran pernafasan di sebuah klinik kesihatan pada Rabu lalu sebelum ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 mendapatinya positif pada keesokannya.

“Ketika ini, anggota terbabit sudah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

“Siasatan rapi untuk mengesan punca jangkitan masih dijalankan.

“Saringan awal ke atas lima orang kontak keluarga yang tinggal serumah dengan anggota ini didapati negatif untuk Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dr Ding berkata, pihaknya mengambil maklum mesej tular di media sosial membabitkan seorang lelaki yang marah terhadap tindakan anggota kesihatan itu masih menjalankan tugas meskipun mempunyai gejala jangkitan saluran penafasan.

Terdahulu, tular di Facebook, seorang lelaki menyatakan isteri dan anaknya diminta untuk membuat saringan selepas seorang anggota kesihatan yang menjalankan tugas di kemudahan berkenaan positif Covid-19.

Turut dinyatakan, isteri dan anaknya menerima rawatan daripada jururawat berkenaan ketika menjalankan pemeriksaan rutin di klinik kesihatan itu.

Mengulas lanjut, Dr Ding berkata, anggota kesihatan berkenaan sebelum ini mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) dan bukan diletakkan sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) untuk jangkitan Covid-19.

“Anggota itu juga tidak mempunyai sejarah mengunjungi kawasan yang sedang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Kedah dan tiada sejarah kontak rapat dengan mana-mana kes positif Covid-19 sebelum ini.

“Sepanjang menjalankan tugas dalam tempoh ini, anggota ini sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kerap mencuci tangan dengan sabun dan air atau menggunakan pensanitasi tangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19