Kontak rapat mangsa kemalangan maut positif Covid-19 dicari

Tawau: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau sedang mengenal pasti semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa kemalangan maut di Jalan Chong Thien Vun, di sini pada Sabtu, selepas wanita itu disahkan positif Covid-19.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata, wanita berusia 75 tahun itu maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran kawasan perumahannya.

“Ketika ini, kami sedang mengesan semua kontak rapat mangsa bagi melakukan ujian saringan Covid-19, termasuk pegawai dan anggota polis yang mengendalikan kes, keluarga serta orang perseorangan yang membantu mengangkat mayat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu maut dirempuh sebuah kereta di jalan itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli makanan untuk sarapan pagi di premis makanan berhampiran.

Difahamkan wanita itu disahkan positif Covid-19 hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19