‘Konvo’ di rumah pun boleh… [METROTV]

KEKECEWAAN bakal graduan ini berikutan penangguhan istiadat konvokesyen akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit terubat apabila ibu dan adik-beradiknya mengadakan ‘majlis’ itu khusus untuknya di rumah.

Penuntut Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Logistik) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sharifah Syahirah Syed Mustafar mengakui ‘majlis konvokesyen’ ringkas itu cukup istimewa buat dirinya, walaupun sekadar lakonan.

Kisah Sharifah Syahirah itu turut tular di laman sosial selepas adiknya, Syed Ahmad Nabeel, 19, memuat naik video berkenaan di Twitter.

Video berdurasi 35 saat itu menarik perhatian warganet kerana aksi bersahaja Sharifah Syahirah mengambil skrol daripada ibunya, Sapiah Ibrahim, 56, yang melakonkan watak sebagai Naib Canselor.

Manakala, kakaknya, Sharifah Sakinah,27 menjadi pengacara majlis dibantu Sharifah Fathiah, 28, yang mengendalikan sistem siar raya (PA System) dan adiknya, Syed Ahmad Nabeel, sebagai jurukamera sementara Syed Ahmad Thaqif, 18, selaku juruvideo.

Bercerita lanjut, Sharifah Syahirah berkata, ‘majlis konvokesyen’ di rumah itu tidak dirancang sebaliknya mereka sekeluarga hanya bercadang mengambil gambar bersama.

“Istiadat konvokesyen itu sepatutnya berlangsung pada Ahad lalu (29 Mac) di UiTM Shah Alam tetapi ditangguhkan kerana PKP. Ikutkan hati memang kecewa kerana bersemangat untuk menghadirinya, selain sudah membeli tudung, pakaian dan kasut baharu.

“Akan tetapi, saya akur dengan keputusan pihak universiti dan bagi mengubati kekecewaan, kami sekeluarga berkumpul dengan perancangan asal adalah mengambil bersama saja.

“Namun, lain pula jadinya apabila kakak saya dengan spontan mencadangkan kami kami semua berlakon kononnya seperti berada di majlis konvokesyen sebenar,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

AKSI bersahaja Sharifah Syahirah mengambil skrol daripada ibunya, Sapiah yang melakonkan watak sebagai Naib Canselor. FOTO Ihsan Sharifah Syahirah Syed Mustafar
AKSI bersahaja Sharifah Syahirah mengambil skrol daripada ibunya, Sapiah yang melakonkan watak sebagai Naib Canselor. FOTO Ihsan Sharifah Syahirah Syed Mustafar

Menurut Sharifah Syahirah, video itu dirakam secara spontan sebagai hiburan dan tiada skrip digunakan sebagai rujukan termasuk ketika kakaknya melakonkan watak pengacara majlis.

“Saya tahu adik ada memuat naik video itu di Twitter tetapi tidak sangka ia akan meraih jumlah tontonan banyak.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana semuanya (warganet) memberi komen positif selepas menonton video berkenaan.

“Ternyata, ada hikmah di sebalik wabak Covid-19 ini iaitu kami sekeluarga dapat berkumpul walaupun di rumah dan diharap perkongsian itu memberi mesej positif kepada semua,” katanya yang menetap di Taman Universiti, Johor Bahru.

Dalam pada itu, Sharifah Syahirah yang kini bekerja di sebuah syarikat logistik masih menaruh harapan supaya majlis konvokesyen diteruskan selepas keadaan kembali reda.

“Saya menerima notis berhubung penangguhan majlis itu dua minggu lalu dan setakat ini belum ada tarikh baru dimaklumkan pihak universiti.

“Diharap, majlis itu diteruskan juga kerana memang teringin untuk naik ke pentas mengambil skrol ijazah memandangkan belum pernah merasai pengalaman sebegitu ,” katanya.

GAMBAR kenangan Sharifah Syahirah bersama keluarga. FOTO Ihsan Sharifah Syahirah Syed Mustafar
GAMBAR kenangan Sharifah Syahirah bersama keluarga. FOTO Ihsan Sharifah Syahirah Syed Mustafar

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan