Kota Kinabalu kawasan ke-28 zon merah

ZON merah penularan Covid-19 di negara ini sudah mencecah 28 kawasan apabila terbaharu, Kota Kinabalu mencatatkan 42 kes sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Infografik dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menunjukkan empat kawasan Sabah dan Sarawak dikategorikan sebagai zon merah.

Kuching menjadi kawasan paling tinggi mencatatkan kes positif Covid-19 iaitu 255 kes diikuti Tawau, Sabah sebanyak 79 kes, Kota Samarahan, Sarawak sebanyak 55 kes dan zon merah terbaharu di Kota Kinabalu.

Di Sabah dan Sarawak sebanyak 25 kawasan masih dikategorikan sebagai zon hijau kerana tiada kes positif Covid-19 iaitu 17 kawasan di Sarawak dan lapan lagi kawasan di Sabah.

Bagi Semenanjung pula, terdapat tiga kawasan zon hijau iaitu Yan di Kedah, Machang di Kelantan dan Hulu Terengganu, Terengganu.

Menerusi infografik sama, di Semenanjung pula Lembah Pantai masih menjadi kawasan tertinggi mencatatkan kes positif Covid-19 iaitu 599 kes diikuti Hulu Langat sebanyak 446 kes dan Petaling sebanyak 288 kes.

Selangor terus mencatatkan negeri paling banyak kes Covid-19 iaitu 1,329 kes dan enam daerahnya kini dikategorikan sebagai zon merah, manakala tiga lagi kawasan kini dikategorikan sebagai zon jingga.

Sehingga kini, sebanyak 5,182 kes positif Covid-19 dicatatkan dan daripada jumlah itu, 2,766 kes atau 53.4 peratus kes sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Sebanyak 84 kematian dicatatkan membabitkan pesakit Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19