Ku Nan bebas tanpa lepas pertuduhan rasuah RM1juta

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan tanpa melepaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, 69, yang dituduh menerima rasuah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, selepas dimaklumkan pihak pendakwaan mempunyai perkembangan baharu berhubung kes itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim yang memberitahu pihaknya tidak mahu meneruskan kes pada peringkat ini menurut Sekyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Prosiding akan digantung dan tertuduh dibebaskan menurut seksyen berkenaan. Mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah, pembebasan itu tidak bermaksud dilepaskan, melainkan mahkamah mengarahkan sebaliknya berdasarkan undang-undang.

“Selepas mendengar hujahan, mahkamah berpandangan alasan yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya berhubung perkembangan baharu dan perlu disiasat mewajarkan mahkamah ini untuk tidak memberikan pembebasan penuh menurut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah. Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan,” kata hakim.

Terdahulu, Julia berkata sepatutnya hari ini ditetapkan untuk saksi pendakwaan kedua, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah disoal balas oleh pembelaan.

Namun, Julia berkata beliau telah mendapat arahan untuk memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan ke atas Tengku Adnan mengikut Seksyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah dan pendakwaan pada peringkat ini tidak meneruskan kes terhadap tertuduh.

“Terdapat perkembangan baharu dalam kes ini yang perlu disiasat dengan lebih lanjut. Pihak pendakwaan juga tidak mahu membazirkan masa mahkamah kerana tidak tahu tempoh masa yang perlu diambil untuk menyiasat perkembangan terbaharu itu.

“Pihak kami tidak boleh jelaskan secara terperinci inti pati. Apa yang boleh diberitahu ialah terdapat satu aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan seorang saksi dalam kes ini.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon perintah supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan ini,” kata Julia yang turut memaklumkan sama ada pihak pendakwaan ingin meneruskan pertuduhan atau membuat pertuduhan lain akan ditentukan setelah siasatan lanjut diselesaikan.

Julia berkata pihak pendakwaan juga mempunyai kuasa untuk menghentikan prosiding dan ia tidak akan memprejudiskan serta berniat jahat terhadap tertuduh.

“Pihak pendakwaan juga tidak ada masalah untuk memaklumkan status siasatan sama ada diteruskan atau ditamatkan kepada pihak pembelaan sekiranya mereka ingin mengetahui status itu dengan lebih lanjut,” katanya.

Sementara itu, peguam Tengku Adnan, Datuk Tan Hock Chuan memohon agar anak guamnya diberikan pembebasan penuh.

“Anak guam saya ditahan pada 14 November 2018 dan beliau mula-mula dituduh di Mahkamah Sesyen pada 15 November tahun sama. Beliau menghadapi pertuduhan ini sudah hampir dua tahun.

“Pihak pendakwaan juga tidak memberikan tempoh masa yang jelas tentang berapa lama yang akan diambil oleh mereka untuk menyiasat perkembangan baharu ini,” kata Tan.

Peguam itu berkata mahkamah berkenaan boleh menuruti jejak langkah kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini seperti kes bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng (kes pembelian banglo) yang masing-masing dilepaskan dan dibebaskan.

“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah memberikan pembebasan penuh kepada anak guam saya,” katanya.

Ahli Parlimen Putrajaya menghadapi pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya berjumlah RM1 daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon yang telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan bersubahat dengan ahli politik itu dan didenda RM1.5 juta.

Wang tersebut telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank Tengku Adnan sebagai dorongan untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd meningkatkan nisbah keluasan tanah syarikat itu berhubung projek pembangunan di Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Tengku Adnan juga menghadapi tuduhan pilihan, iaitu dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima wang RM1 juta untuk dirinya daripada Tan melalui cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB beliau, sedangkan beliau mengetahui bahawa Tan, sebagai pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd, mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bermula pada 20 September 2019 dengan pihak pendakwaan telah memanggil dua saksi untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun, Tengku Adnan telah memfailkan permohonan meminta Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya atas alasan hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta dalam kes Tan.

Mohd Nazlan menolak permohonan Tengku Adnan yang kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada Februari lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak Tengku Adnan dan memerintahkan perbicaraan kes itu didengar di hadapan hakim lain atas alasan Mohd Nazlan mungkin bersikap berat sebelah.

Pada 17 Julai 2020, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu, sekali gus kes tersebut dikembalikan kepada Mohd Nazlan.

Tengku Adnan turut dituduh menerima untuk dirinya sejumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) dan perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan telah selesai dan mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk keputusan.