Kuarantin rumah hantu

Jakarta: Bosan dengan individu yang ingkar perintah kuarantin, seorang ahli politik di Sragen, Jawa Tengah, Indonesia memutuskan menghukum individu terbabit dengan meletakkan mereka di rumah terbiar yang didakwa berhantu.

Untung Yuni Sukowati berkata, pihaknya mengambil pendekatan itu selepas mendapati kemasukan orang ramai secara besar-besaran ke Sragen selepas Jakarta dan kota besar lain ditutup.

Beliau berkata, banyak individu yang baharu tiba tidak mengikuti arahan supaya menjalani kuarantin 14 hari bagi mengelak penularan wabak itu ke seluruh Pulau Jawa yang padat dengan penduduk.

Sehubungan itu, Untung mengarahkan rumah terbiar yang dikatakan berhantu dijadikan tempat menahan individu berkenaan.

Setakat ini, lima individu dikenakan hukuman berkenaan.

“Kalau ada rumah kosong dan berhantu di kampung anda, tangkap mereka yang ingkar perintah kuarantin dan masukkan mereka ke situ,” katanya.

Pegawai kerajaan di sebuah kampung di Sepat, Srengan memilih meletakkan individu degil itu di sebuah rumah lama dan tidak berpenghuni.

Sebagai langkah keselamatan, mereka diletakkan di ruangan berasingan dengan katil diasingkan dengan langsir.

Setakat ini, tiga individu yang baru tiba di kampung itu menerima hukuman menghabiskan baki tempoh kuarantin 14 hari mereka di rumah berkenaan.

Antara yang menerima hukuman itu ialah Heri Susanto.

“Setakat ini saya belum terserempak apa-apa. Tetapi kalau terjumpa, tak boleh buat apa-apa,” kata Susanto, yang berasal dari Sumatera.

“Saya sedar tindakan ini demi menjaga keselamatan orang ramai. Ini pengajaran untuk saya.” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19