Kubur padat

Jakarta: Kawasan perkuburan Pondok Ranggon di Jakarta Timur mungkin berdepan ketiadaan ruang untuk mengebumikan mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 menjelang Oktober nanti kerana peningkatan mendadak jumlah pengebumian setiap hari.

Pegawai pengurusan kawasan perkuburan itu dikenali sebagai Nadi berkata, ruang yang ada ketika ini hanya boleh memuatkan 1,100 mangsa.

“Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal pertengahan Oktober nanti,” katanya kepada Kompas.

Dia menjangka bahawa pada Oktober nanti, ruang yang ada boleh memuatkan 380 hingga 400 mangsa saja.

Nadi berkata, kebiasaannya secara purata pihaknya menguruskan 700 pengebumian setiap bulan namun, pada Ogos lalu, sekitar 27 mangsa diuruskan setiap hari.

“Pada 31 Ogos lalu, kami merekodkan jumlah paling tinggi dengan 36 mangsa diuruskan dalam masa sehari,” katanya.

Kawasan perkuburan itu dikhaskan untuk mangsa yang terkorban akibat Covid-19 sejak Mac lalu dan pihak pengurusan membuka lapan plot baharu untuk mengebumikan 2,623 mangsa.

“Kami menggunakan nombor 91 hingga 99 untuk mangsa korban Covid-19, kecuali nombor 97 yang digunakan untuk orang awam.

“Setiap plot boleh memuatkan 240 hingga 300 mangsa,” katanya.

Nadi berkata, walaupun bimbang dengan keadaan yang semakin meruncing itu, namun pihaknya belum membuat sebarang perancangan.

“Saya hanya berharap jumlah mangsa Covid-19 tidak bertambah kerana ia juga akan mengurangkan angka kematian,” katanya.

Kawasan perkuburan Pondok Ranggon dibahagikan kepada tiga blok, iaitu blok Islam, Kristian dan Buddha.

Sehingga semalam, Indonesia mencatatkan jumlah keseluruhan 190,665 kes jangkitan Covid-19 dengan 7,940 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19