Kumaar gigih ajar isteri berbahasa Melayu [METROTV]

Kuala Lumpur: Meskipun sudah 10 tahun berhijrah ke Amerika Syarikat (AS), L Kumaar tidak sesekali lupa dengan asal usulnya.

Buktinya, lelaki berusia 33 tahun yang berasal dari Klang, Selangor itu tidak hanya aktif memuat naik kandungan video berkaitan keistimewaan Malaysia di Youtube.

Malah, dia turut mengajar isterinya, Rachel Kumaar, 30, bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Baru-baru ini, Kumaar memuat naik video menunjukkannya menguji Rachel dengan meminta isterinya mencari bahan masakan di pasar raya berpandukan senarai nama dalam bahasa Melayu.

Aksi pasangan itu mendapat perhatian warganet yang menyifatkan mereka pasangan comel selain memuji kesungguhan Rachel menyahut cabaran suaminya.

Bercerita lanjut, Kumaar yang bekerja sebagai pegawai strategi media di sebuah agensi pemasaran berkata, dia berhijrah meninggalkan tanah air kerana menerima tawaran melanjutkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Pengurusan Projek di Universiti Devry, Illinois, AS.

“Saya berkenalan dengan Rachel pada satu majlis yang diadakan di sebuah gereja.

“Sejak itu, kami menjalin hubungan dan akhirnya sepakat untuk berkahwin pada Jun 2014.

“Hubungan kami direstui kedua-dua belah keluarga dan mengadakan resepsi di Malaysia serta AS,” katanya ketika dihubungi Harian Metro menerusi kiriman WhatsApp .

Seperti pasangan lain, Kumaar dan Rachel juga tidak dapat lari daripada berdepan cabaran di alam perkahwinan tambahan mereka datang daripada latar belakang dan budaya berbeza.

KUMAAR dan Rachel bersama dua anak mereka,Zaden Kumaar  dan Kyren Kumar. FOTO Ihsan L Kumaar
KUMAAR dan Rachel bersama dua anak mereka,Zaden Kumaar dan Kyren Kumar. FOTO Ihsan L Kumaar

“Cabaran utama kami adalah komunikasi dan perbezaan budaya. Namun, kami cuba belajar dan menghargai budaya satu sama lain.

“Setiap hari, kami belajar memahami satu sama lain dan selalu mencari jalan tengah dalam semua perbezaan demi mencari titik persamaan yang boleh menyatukan keluarga,” katanya dikurniakan dua cahaya mata iaitu Zaden Kumaar yang berusia dua tahun dan adiknya, Kyren, lima bulan.

Mengulas mengenai kesungguhannya mengajar Rachel memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu, Kumaar berkata, ia salah satu caranya untuk memastikan isterinya tidak kekok dan boleh bertutur dengan baik sekiranya datang ke Malaysia.

“Tak sangka perkongsian saya di Youtube yang menunjukkan cabaran Rachel bertutur dalam Bahasa Melayu selama 24 jam itu dan lain-lain lagi menarik perhatian warganet.

“Ini kerana kami lakukan rakaman hanya untuk berseronok ,tidak lebih daripada itu.

“Lagipun, saya bangga dengan negara, bahasa dan budaya Malaysia jadi memang teringin mengajar isteri dan anak-anak supaya menghargainya,” katanya yang sudah mengumpul 110,000 pengikut di Youtube.

KUMAAR memuat naik video mengajar isterinya, Rachel berbahasa Melayu. FOTO Ihsan L Kumaar
KUMAAR memuat naik video mengajar isterinya, Rachel berbahasa Melayu. FOTO Ihsan L Kumaar

Kumaar berkata, matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia terkenal di mata dunia menerusi perkongsiannya di platform digital

Menurutnya, keinginan itu ada selepas berhijrah dan melihat adanya adanya segelintir rakyat Malaysia yang tidak begitu menghargai budaya sedangkan dia pula bangga dengan identitinya walaupun sudah lama menetap di luar negara.

“Selepas berpindah dari Malaysia dan menetap di sini saya semakin menghargai tanah air , budaya dan makanan tempatan.

“Malah, saya tidak sabar pulang ke Malaysia kerana kali terakhir adalah pada Disember 2019.

“Mengikut perancangan, saya sepatutnya membawa anak dan isteri pulang pada tahun lalu tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana Covid-19 namun akan terus berbuat demikian apabila sempadan dibuka nanti,” katanya.