Kurang jangkitan

Beijing: Covid-19 yang melanda dunia ketika ini tidak hanya menyebabkan orang awam jatuh sakit sebaliknya turut menjejaskan kesihatan petugas perubatan di seluruh dunia.

Namun, Singapura menjadi perhatian dunia apabila merekodkan sebilangan kecil saja petugas kesihatan dijangkiti Covid-19.

South China Morning Post melaporkan setakat ini, republik berkenaan mencatatkan 630 kes jangkitan dan semuanya dimasukkan ke hospital namun hanya sebilangan kecil saja kakitangan perubatan yang turut dijangkiti virus itu.

Pengarah Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Singapura, Vernon Lee berkata, kakitangan hospital yang dijangkiti wabak itu dilaporkan mendapat jangkitan dari luar hospital dan bukan ketika sedang merawat pesakit.

Pakar memaklumkan bahawa situasi itu bukan sekadar nasib baik kerana sebelum ini 41 petugas kesihatan terdedah dengan pesakit yang disahkan positif Covid-19 namun selepas 14 hari tempoh inkubasi, kesemua petugas tidak mendapat sebarang jangkitan.

Ia dipercayai kerana mereka menggunakan perlindungan lengkap termasuk mengenakan kedua-dua topeng pembedahan dan topeng N95 yang menghalang 95 peratus partikel di udara.

Malah, kesimpulan yang diterbitkan di jurnal The Annals of Internal Medicine bulan ini mendedahkan penggunaan topeng pembedahan, kebersihan tangan selain standard prosedur lain melindungi mereka daripada dijangkiti.

Pakar bedah dan penulis, Atul Gawande melaporkan bahawa banyak perkara boleh dipelajari dari petugas kesihatan di Asia khususnya berkaitan penjarakan sosial, kebersihan asas tangan dan regim pembersihan.

Pakar penyakit berjangkit, Leong Hoe Nam berkata, pengalaman mengendalikan SARS pada 2003 menyebabkan sebahagian besar negara Asia sudah bersedia dengan sebarang wabak.

Dalam terbitan persediaan pandemik yang dihasilkan pada 2008, pakar kesihatan awam Singapura, Jeffery Cutter mendedahkan republik berkenaan memiliki simpanan peralatan perubatan yang mencukupi untuk kegunaan semua petugas kesihatan bagi tempoh lima hingga enam bulan.

Maka, ketika wabak Covid-19 ini berlaku, Singapura mempunyai peralatan mencukupi selain turut menggesa orang awam supaya tidak menggunakan penutup muka bagi mengutamakan keperluan petugas kesihatan.

Singapura mempunyai 13,766 doktor atau 2.4 doktor bagi setiap 1,000 penduduk berbanding 2.59 di Amerika Syarikat, 1.78 di China dan 4.2 di Jerman.

Myanmar dan Thailand mempunyai nisbah doktor yang sedikit iaitu seorang doktor untuk 1,000 penduduk.

Bagaimanapun, petugas kesihatan di Singapura berdepan diskriminasi kerana dianggap sebagi ‘pembawa penyakit’.

Seorang jururawat memaklumkan bahawa dia tidak akan mengenakan uniform ketika pulang ke rumah kerana bimbang insiden yang mungkin berlaku.

“Orang awam takut dengan kami. Seorang kakitangan saya menempah kenderaan untuk ke hospital kerana kecemasan namun, tempahannya ditolak lima pemandu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19