Kurung 50 hari

BEIJING: Seorang lelaki menghabiskan hampir dua bulan berkurung di rumahnya selepas menjalani kuarantin tiga kali berturut-turut.

Nasib Xiong dari bandar Jining, di wilayah Shandong di timur China itu menjadi topik hangat di media sosial negara itu minggu ini.

Dia menghabiskan seluruh Februari dan separuh bulan Mac di rumahnya untuk menjalani kuarantin sehingga media melabelkannya dengan gelaran ‘beli satu percuma dua’.

Portal Oddity Central melaporkan, kali pertama Xiong dikuarantin di pangsapurinya mulai 8 Februari, dua hari selepas pulang dari Filipina.

Dia dilarang meninggalkan rumahnya 14 hari, tetapi bernasib malang apabila arahan itu ditambah dua kali sehingga menjadikan keseluruhan tempoh 50 hari.

Dalam video yang tular di media sosial, Xiong mendedahkan selepas berkurung dua minggu, dia akhirnya dapat keluar dari rumah.

Bagaimanapun, dia bernasib malang apabila pihak berkuasa mengarahkannya menjalani kuarantin 14 hari lagi.

“Ketika itu, saya melangkah keluar pintu dan ada jiran yang baru pulang dari Korea Selatan. Dia datang ke arah saya diikuti seorang pekerja kesihatan dan meletakkan saya kembali ke sini (di dalam rumahnya) 14 hari lagi,” katanya dalam video itu.

Xiong menuruti arahan supaya menjalani kuarantin diri kedua selama 14 hari lagi hanya kerana bertembung jirannya di pintu.

“Saya mengira 14 hari berlalu dengan cepat. Saya berbaring di lantai tanpa melakukan apa-apa sepanjang hari.

“Kemudian, dengan berakhirnya tempoh kuarantin itu, tiba-tiba abang saya pulang dari Singapura dan saya dikenakan kuarantin 14 hari lagi.

“Saya hanya terbaring di lantai hampir 50 hari tanpa melakukan apa-apa,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19