Lagu harus ada mesej

AURA dimiliki figura terkenal ini bukan saja pada personaliti dimiliki, tapi juga lagu yang dihasilkan.

Pembabitan 15 tahun dalam bidang muzik tempatan menjadikan Faizal Tahir, 42, antara penyanyi lelaki yang berjaya mengekalkan kedudukan sehingga kini selain berjaya mencipta nama sebagai komposer hebat.

Tidak dinafikan, setiap karya Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohd Tahir mampu menarik minat pencinta muzik tempatan untuk terus ‘mencintai’ dirinya termasuk menjadi rebutan dalam kalangan penyanyi baru untuk bekerjasama.

Satu kelebihan Faizal juga apabila setiap karya yang dihasilkan itu sarat dengan mesej berguna bukan saja untuk diri sendiri, tapi buat pendengar dan masyarakat umumnya.

Terbaharu, Faizal yang popular menerusi lagu Ragaman muncul menerusi single Nobody terbitan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar.

Menurut Faizal, perkara penting yang ingin disampaikan dalam lagu Nobody ini adalah mesej buat diri sendiri dan orang sekeliling.

“Apa cuba nak disampaikan dalam lagu ini sebenarnya untuk diri saya sendiri terlebih dahulu, yang mana saya ini ‘nobody’ tanpa ‘somebody’ yang saya boleh beri dan curahkan kasih sayang.

“Selain mendedikasikan rasa cinta dalam diri saya kepadanya, menjaga dengan baik dengan jujur, ikhlas kerana Allah SWT. Sebab apabila buat macam itu barulah dapat hadiah teragung iaitu bersamanya di syurga nanti.

“Jadi, pada saya keunikan lagu ini adalah mesej yang ingin disampaikan. Sebab muzik adalah muzik. Kita boleh berikan pelbagai jenis muzik yang sedap didengar, tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan.

“Bagi saya, lagu ini adalah sebuah mesej lain daripada yang lain yang pernah saya sampaikan sebelum ini,” katanya.

Seperti kebanyakan karya lain juga, lagu ini sekali lagi menyaksikan kerjasama Faizal bersama beberapa komposer iaitu Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

Menurut Faizal, dia selesa bekerja dalam pasukan kerana dapat berkongsi banyak idea sekali gus dapat melahirkan sebuah karya yang terbaik dan unik.

KERJA secara berpasukan mampu lahirkan karya terbaik, unik.
KERJA secara berpasukan mampu lahirkan karya terbaik, unik.

“Nobody adalah lagu modern power ballad. Sebab sekarang ini pun muzik sudah lain. Komposer yang bersama saya dalam penghasilan lagu ini juga mereka yang sedang meningkat naik dan banyak lagu mereka sudah keluar di radio. Kalau nak tahu, ini memang cara saya bekerja yang mana kami buat bersama-sama dan terbitkan.

“Saya rasa tidak ada masalah bekerja dengan banyak kepala. Sebab sudah biasa. Macam ketika mula nak menjadi komposer saya sudah biasa kerja sendiri, seterusnya berdua dan bertiga.

“Tapi, saya sedar apabila bekerja dalam kumpulan atau pasukan kita lagi kuat, idea banyak dan berbeza terutama bekerja dengan orang mempunyai pengalaman lain. Macam saya sudah tua, jadi dapat berkongsi idea baru daripada orang baru dan anak muda.

“Jadi, kami sama-sama membantu mencari yang terbaik. Disebabkan itu saya suka bekerjasama. Bagi saya setiap orang diberikan kelebihan dan idea berbeza, apa yang penting semua sangat terbuka, bertolak ansur dan boleh terima idea masing-masing. Malah boleh terima apa saja perubahan yang kita buat apabila bekerjasama. Jadi, sebenarnya bekerja dalam kumpulan lebih senang,” katanya.

Mengenai harapan terhadap lagu itu, Faizal cuba berharap mesej yang disampaikan dalam lagu itu dapat memberi manfaat bukan saja buat dirinya tapi juga semua orang.

“Harapan saya setiap kali keluar lagu, mestilah saya mengharapkan mesej yang disampaikan diterima dan dihadam dengan baik. Paling penting dapat memberi manfaat kepada orang yang mendengar dan memahaminya.

“Harapnya kepada diri saya dulu dan orang lain yang mendengar menjadi orang yang lebih baik,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik video, Faizal berkata ia masih dalam proses pembikinan.

“Kita sedang dalam perancangan untuk menyiapkan muzik video rasmi. Apa boleh saya katakan, muzik video ini paling unik dan mencabar untuk saya dan pasukan terbitkan. Ia sangat lain. Jadi, saya sangat teruja dan tak sabar untuk lihat hasilnya,” katanya.

Cabaran dalam

wBig Stage

Dalam perkembangan lain, Faizal yang kali ketiga dipilih menjadi juri tetap program Big Stage mengakui belum ada peserta yang mampu menarik perhatian dan memberi kepuasan dirinya.

“Tak adalah nak kata mereka kurang mantap. Sebab mereka masuk program ini pun untuk memantapkan lagi diri mereka. Memasuki minggu keempat, sejujurnya ada nampak perkara yang positif. Tetapi secara keseluruhan untuk saya pilih dan memuaskan hati saya belum ada. Belum ada yang mampu menarik perhatian saya.

“Jadi, saya harap pada minggu ini masing-masing dah kena ‘all out’ dna tak boleh simpan lagi. Perkara ini hanya boleh dinilai mantap atau tak peserta kali ini, kena tunggu sampai habis nanti.

“Mereka masih ada masa dan ruang lagi untuk belajar. Tunggu dan lihat saja. Mungkinlah minggu pertama hingga ketiga nampak sedikit lemau. Tapi selepas melalui semua itu dan banyak memberi input positif, jadi terpulang untuk mereka ambil sebagai palajaran dalam meningkat diri masing-masing,” katanya.

Namun, besar harapan Faizal untuk menyaksikan setiap peserta yang keluar daripada program itu nanti dapat memberikan produk yang terbaik dalam bidang muzik.

“Harapan saya untuk Big Stage, sudah tentu setiap kali terbabit dalam program ini kalau boleh kita nak ada produk yang sangat baik dan boleh memberi sesuatu yang baik kepada industri hiburan dan muzik kita.

“Mungkin apa yang juri lain cari adalah berbeza dengan apa yang saya cari. Pada saya, saya nak seseorang yang kalau boleh ada peningkatan dan tahu ada peranan dalam industri. Paling penting dia bersedia untuk menjadi pemain dalam industri. Sebab itu yang kita mahukan. Sekali gus boleh menyambung legasi muzik industri,” katanya.