Lambakan kontena

Pelabuhan Klang: Peningkatan ketibaan kapal kontena secara mendadak berikutan kelewatan di pelabuhan serta cuaca buruk antara punca berlaku kesesakan luar biasa di Pelabuhan Utara dan Barat di Pelabuhan Klang sejak suku ketiga tahun ini.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Kapten K Subramaniam berkata, ada juga kapal dagang dan kontena yang tidak singgah langsung ke Pelabuhan Klang atau mempunyai ruang terhad menerima kontena untuk dieksport berikutan permintaan tinggi di pelabuhan di China.

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada antara syarikat perkapalan menurunkan kontena masing-masing, bukan untuk Pelabuhan Klang dan meminta kebenaran menyimpannya untuk tempoh lama sebelum pemindahan seterusnya diuruskan.

“Ia dialami semua pelabuhan utama di rantau ini dan di beberapa lokasi lain.

“Sebab utama lonjakan mendadak ini kerana kapal yang tiba berkumpul di Pelabuhan Klang selepas mengalami kelewatan di pelabuhan sebelumnya,” katanya, semalam.

Subramaniam berkata, keadaan bertambah buruk disebabkan cuaca buruk semasa musim tengkujuh apabila kapal tersadai di pelabuhan di China, Hong Kong dan Singapura.

Beliau berkata, kapal-kapal itu meninggalkan pelabuhan berkenaan dan tiba di Pelabuhan Klang pada waktu yang hampir sama.

“Akibatnya, masa menunggu kapal berkenaan untuk berlabuh di Pelabuhan Klang mengambil masa dua hingga tiga hari.

“Kedua-dua faktor ini menyebabkan kapasiti penggunaan kawasan berlabuh mencecah 95 peratus, ini bermakna keadaan menjadi sesak,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya menyedari keluhan dalam kalangan pengimport buah-buahan dan sayur-sayuran yang mendakwa, penghantaran barang mereka menghadapi kelewatan di Westports.

Katanya, pihak itu mendakwa, penghantaran yang biasanya memakan masa dua hingga tiga hari, kini memakan masa hingga tujuh hari.

Subramaniam berkata, keupayaan kontena sejuk beku untuk kontena 40 kaki adalah 3,532 di Pelabuhan Barat dan sudah 80 peratus diisi dengan 700 hingga 800 kontena adalah import domestik.

Beliau berkata, antara 30 hingga 40 peratus perlu diperiksa oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) manakala pengendali Pelabuhan Barat, Westports bekerjasama rapat dengan jabatan itu untuk memastikan seberapa banyak kontena berkenaan dapat diperiksa setiap hari sebelum dilepaskan kepada pengimport.

“Maqis membuat pemeriksaan sebanyak dua sesi setiap hari terhadap kontena berkenaan namun sejak minggu lalu, pihak pelabuhan melaporkan banyak kontena yang diperiksa dan dilepaskan Maqis belum diambil penerima barang.

“Semua kontena yang diperiksa masih berada di situ dan ini menghalang kontena baharu tiba dipindahkan untuk pemeriksaan Maqis. Keadaan ini menyebabkan jumlah kontena diperiksa dan dilepaskan Maqis berkurangan serta berlaku kelewatan pelepasan seterusnya,” katanya.

Justeru, LPK menggesa semua penerima untuk menghantar semua kontena yang diperiksa itu, segera mengambilnya bagi membolehkan lebih banyak kontena diperiksa dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Bagi mengatasi masalah itu katanya, pihak pelabuhan menyediakan ruangan tambahan untuk pemeriksaan MAQIS, walaupun lokasi ini agak jauh dari lokasi sedia ada manakala LPK bersetuju menanggung kos pengalihan kontena.

“Sebagai tambahan, pihak pelabuhan akan melengkapkan blok rujukan baharu menjelang 31 Disember ini bagi meningkatkan keupayaan pemeriksaan dan membantu mengurangkan kesesakan di masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, LPK sentiasa memantau situasi semasa dan bekerjasama dengan Westports, MAQIS dan Kastam Diraja Malaysia bagi memudahkan proses pelepasan kontena oleh MAQIS.

“Dengan langkah ini, LPK percaya masalah keadaan ini diselesaikan segera dan kita menjangkakan peningkatan pengendalian kontena semasa Tahun Baharu Cina, jadi LPK dengan kerjasama terminal pelabuhan dan agensi berkaitan akan memastikan langkah-langkah sewajarnya diambil agar operasi berjalan lancar dan pelepasan kontena tepat pada waktunya,” katanya.