Langkah optimis si jelita

DINOBATKAN pemenang Miss Universe Malaysia 2020 (MUM2020), Francisca Luhong James, 25, berjanji membanggakan nama negara di pentas acara ratu cantik nombor satu dunia, Miss Universe 2020 kelak.

Anak jati Kuching, Sarawak ini berkata, dia sedia menggalas tugas besar mewakili Malaysia baik dalam pertandingan itu mahupun dalam usaha mempromosi negara.

Baginya, tugas itu berat namun teruja diberikan mandat berkenaan.

Francisca mengakui sebagai ratu cantik, tanggungjawabnya adalah menyeluruh dan bukan sekadar mempamer kecantikan.

Sebaliknya, dia mahu segala aspek dalam negara menjadi bahan untuknya perkenalkan di mata dunia.

“Sekarang ini, fokus utama saya untuk mempersiapkan diri sebelum bertanding di Miss Universe 2020. Saya sangat seronok apabila persiapan saya mendapat bantuan dan sokongan luar biasa daripada pelbagai pihak.

“Misi saya tidak lain untuk memenangi pertandingan itu atau sekurang-kurangnya meraih pencapaian membanggakan di sana. Bagaimanapun, saya tidak sesekali terhadkan tanggungjawab diri dalam aspek itu sahaja.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya juga berjanji akan memperkenalkan lagi nama negara baik dari aspek budaya, pelancongan dan sebagainya kepada orang luar. Ini antara misi penting yang saya benar-benar mahu kotakan sepanjang pemahkotaan saya,” katanya.

BUKAN sekadar serlah kecantikan malah Franciscajunjung nama negara di pentas antarabangsa.  FOTO Asyraf Hamzah
BUKAN sekadar serlah kecantikan malah Franciscajunjung nama negara di pentas antarabangsa. FOTO Asyraf Hamzah

Mencipta sejarah menjadi gadis keturunan Dayak pertama memenangi gelaran itu, Francisca mengakui masih tidak sangka dengan kemenangannya.

Apatah lagi, pada zaman remajanya, dia tidak pernah berniat memasuki pertandingan ratu cantik.

Hakikatnya, ketika memutuskan bertanding di MUM2020, niatnya cuma mencabar diri dan memberikan persembahan terbaiknya.

Lantas, apabila dimahkotakan sebagai juara, kegembiraannya berganda secara luar biasa.

“Sebelum ini, saya memang jenis lasak dan jarang tampil feminin. Bahkan, saya tidak pernah pun terfikir diri ini layak untuk bertanding ratu cantik apalagi mahu mencuba nasib dalam bidang ini.

“Pada 2015, baru saya memberanikan diri mencubanya selepas seorang kenalan yang kini sahabat karib melihat potensi besar dalam diri saya. Dua kali mencuba nasib dalam pertandingan Miss World Malaysia, ternyata memberi pengalaman berharga walaupun tak menang.

“Ketika uji bakat MUM2020, hanya ibu saya yang tahu. Tidak sangka, penyertaan saya tiba-tiba menjadi bualan, dapat sokongan luar biasa, sehingga berjaya mendapat mahkota itu,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kemenangannya, Francisca mendedahkan dia sanggup berhabisan ribuan ringgit demi mempersiapkan diri.

Dalam fikirannya, dia cuma buktikan dirinya bekerja keras tanpa fikir menang atau kalah.

Menurutnya, dia mahu menyertai ratu cantik itu buat kali terakhir sebelum bersara, justeru dia ingin tinggalkan impak dalam persembahannya.

Dengan kewangan yang stabil, dia juga tidak mahu berkira berbelanja lebih.

“Antara sebab saya bertanding juga adalah yakin mampu memberikan persiapan lebih terperinci berbekalkan pengalaman terdahulu. Persiapan yang baik adalah elemen penting untuk menjadi ratu cantik disegani.

“Oleh demikian, saya sanggup keluarkan wang sendiri untuk membiayai sesi fotografi profesional. Tidak ketinggalan, saya nekad menggunakan khidmat pereka fesyen tersohor, Rizman Ruzaini untuk gaun malam.

FRANCISCA jadi wanita Dayak pertama memenangi Miss Universe Malaysia.  FOTO Asyraf Hamzah
FRANCISCA jadi wanita Dayak pertama memenangi Miss Universe Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah

“Beribu juga habis demi memastikan setiap aspek berada di tahap kualiti tertinggi. Puas memang puas apabila segala yang saya usahakan akhirnya berbaloi selain membuka mata ramai bahawa saya bukan sambil lewa dalam pertandingan itu,” katanya.

Pejuang advokasi perkasa wanita

Satu daripada misi bergelar ratu cantik tidak lain adalah advokasi yang diperjuangkan.

Bagi Francisca, aspek itu yang sebenarnya menjadi kelebihan dan perlu dipandang tinggi jika mahu diingati dalam bidang ini.

Apapun, dia mengakui sebenarnya tanpa gelaran terbabit pun, dia sudah memulakan inisiatif dalam membangunkan masyarakat.

Menerusi projek Women Rise Malaysia, dia berazam membantu wanita dari pelbagai latar belakang untuk maju.

“Terdahulu projek yang dimulakan sekitar awal tahun ini berkenaan menyasarkan wanita di Sabah dan Sarawak sahaja. Maklumlah di sana ramai wanita yang masih bergelut mencari peluang di luar.

“Sebenarnya Mac lalu, kami sudah mengatur sebuah acara bersama kementerian untuk tujuan itu. Bagaimanapun, hajat tak kesampaian selepas dunia dilanda pandemik Covid-19 dan banyak agenda tergendala.

“Namun, usaha kami bukan terhenti terus. Saya bersama pasukan mencari usaha lain seperti mempromosikan produk peniaga kecil wanita di platform digital mahupun mencari sumber bantuan lain untuk disalurkan,” katanya.

Francisca juga mengakui motivasi dirinya untuk perjuangkan nasib wanita jadi lebih meluap-luap selepas mengenali peserta lain bertanding dalam MUM2020. Sekali gus, dia jadikan advokasinya itu meliputi keseluruhan wanita di Malaysia.

“Apa yang sangat mengagumkan mengenai pertandingan itu, saya belajar banyak perkara daripada peserta lain. Tolak tepi persaingan, sebaliknya ikatan kami jadi lebih kukuh disebabkan perkongsian matlamat hidup, menjadi inspirasi dan saling memperkasa sesama sendiri.

“Justeru, saya rasakan sebaiknya advokasi saya perlu diperluaskan dan membela setiap wanita seluruh negara. Setiap cerita mereka saya jadikan panduan untuk mengukuhkan lagi intipati advokasi saya,” katanya.