Larang mudik

Jakarta: Kerajaan Indonesia mengumumkan larangan mudik atau pulang ke kampung untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

CNN Indonesia melaporkan, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, langkah itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas melakukan kajian dan pemerhatian langsung di lapangan.

“Hari ini (semalam), saya ingin sampaikan bahawa mudik semuanya dilarang,” kata Jokowi melalui sidang video dari Istana Merdeka di sini, semalam.

Setiap tahun, dianggarkan 20 juta rakyat Indonesia yang bekerja di bandar besar negara itu pulang ke kampung pada akhir Ramadan.

Terdahulu, kerajaan Indonesia memutuskan cuti umum Hari Raya Aidilfitri di republik itu dipinda ke Disember.

Jakarta Post melaporkan kerajaan membuat keputusan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menteri Pembangunan dan Kebudayaan Manusia, Muhadjir Effendy berkata, cuti umum sebelum ini pada 26 hingga 29 Mei, namun dipinda kepada 28 hingga 31 Disember depan.

Negara itu turut melaksanakan Perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Kota Jakarta, yang antaranya, tidak membenarkan perkhidmatan e-hailing menggunakan motosikal seperti Gojek daripada beroperasi.

Sehingga semalam, Indonesia merekodkan 6,760 kes jangkitan Covid-19 dengan 590 kematian.