Legenda tersisih

Kuala Lumpur: Legenda sepak takraw negara, Rehan Mohd Din meluahkan rasa terkilan apabila permohonannya untuk mengeluarkan wang Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak diluluskan kerana dikatakan tidak mengalami sakit kronik.

Rehan berkata, dia tidak mengerti apa yang dikategori sebagai kronik kerana berdasarkan keadaan dirinya sudah menjalani pembedahan jantung, tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak itu masih lagi tidak dikategorikan sebagai hilang upaya.

“Saya sudah bertemu dengan doktor panel dari Pekeso dan permohonan saya tidak diluluskan. Perkeso bagi syarat hanya pesakit tahap kronik baharu diluluskan.

“Takkanlah keadaan saya yang sudah tidak boleh berjalan dan menjalani pembedahan jantung tidak boleh mengeluarkan wang Pekeso. Takkanlah sampai terbaring kat atas katil dan sampai langsung tidak boleh berjalan baharu mereka nak benarkan saya keluarkan wang sendiri. Wang hasil caruman saya. Saya cuma nakkan hak saja.

“Sebelum ini saya ke Perkeso di PJ (Petaling Jaya) dan pegawai bertugas mengatakan saya layak untuk mengeluarkan wang caruman tapi perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor panel yang akhirnya tidak diluluskan,” katanya.

Kata Rehan, kos perubatan kini bukan murah dan ditambah dengan keadaan dia sekarang yang tidak lagi mampu untuk membawa kereta dan bekerja, bekas atlet negara itu sememangnya memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ia jelas menimbulkan rasa kecewa bekas atlet negara yang kini amat memerlukan sumber kewangan bagi menampung kehidupan sehariannya terutama membeli ubat-ubatan selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 14 Jun lalu.

“Selepas menjalani pembedahan tempoh hari saya hanya menjalani rawatan susulan di IJN sekali sebab kos untuk ke sana bukannya sikit. Memang saya tak mampu kalau sekali pergi sana saya perlu RM1,000 ke RM2,000.

“Keadaan jantung saya pun ada kalanya masih terasa sakit. Sekarang ini memang saya dah tak makan ubat dari hospital lagi sebab ubat yang dibekalkan kepada saya tak dapat di Hospital Teluk Intan ini,” katanya.

Rehan yang kini berusia 53 tahun sebelum ini sudah ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pihak berkenaan memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai masalah untuk membenarkan caruman atau skim pencen Ilat namun perlu mendapatkan pengesahan dari Pekeso.

Rehan adalah pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 1989, Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan Sea Manila berkata, dia sebelum ini turut berhubung dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berhubung jalan terbaik untuk mendapatkan pertolongan selepas menjalani pembedahan namun pesanan yang dihantar tidak mendapat maklum balas.