Lelaki amuk parah dipukul dengan batang cangkul

LELAKI pengsan serta mengalami keretakan di kepala, lebam di mata kiri dan luka di pergelangan tangan kiri akibat dipukul dengan batang cangkul selepas dia mengamuk di sebuah kedai kopi di pekan Batu 10, Kota Padawan, Padawan, semalam.

Lelaki berusia 55 tahun itu dipukul oleh pemilik kedai kopi berkenaan dalam kejadian yang dilaporkan berlaku jam 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, lelaki tempatan yang disyaki dalam keadaan mabuk itu mengamuk di kedai kopi berkenaan dengan bersenjatakan sebilah parang sepanjang satu meter.

Katanya, punca kejadian dipercayai berlaku akibat perselisihan faham yang mana mangsa menyangka dirinya ditengking oleh pemilik premis terbabit, sebelum kedua-duanya bergelut.

“Akibat itu, mangsa pengsan akibat dipukul oleh pemilik premis menggunakan sebatang kayu.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami keretakan di kepala, lebam di bahagian mata kiri dan luka di pergelangan tangan sebelah kiri.

“Semasa bergelut, pengadu (pemilik premis) memukul mangsa di bahagian kepala menggunakan kayu menyebabkannya pengsan manakala pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Aidil berkata pemilik premis terbabit ditahan jam 1.15 pagi untuk siasatan lanjut.

Katanya, pengadu mengaku memukul mangsa menggunakan kayu panjang dipercayai batang cangkul.

Beliau berkata, semakan turut mendapati pengadu mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 90, Akta Racun, Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.