Lelaki disahkan ‘hamil’

Beijing: Seorang lelaki di China yang mengalami sakit perut gusar selepas dia disahkan hamil oleh doktor selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital.

Memetik portal Global Times, kejadian itu bermula selepas lelaki dari Zhongshan, selatan China, wilayah Guangdong itu mendapatkan rawatan di hospital pada Isnin.

Pihak hospital memutuskan membuat ujian ultrabunyi selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Namun, apa yang memeranjatkan, laporan ujian itu mengesahkan lelaki itu hamil dengan embrio normal.

Lelaki dikenali sebagai Wu yang terkejut dengan laporan berkenaan, meminta doktor membuat penjelasan lanjut hasil laporan dikeluarkan itu menyebabkan pihak hospital segera melakukan penelitian semula.

Selepas meneliti perkara itu, doktor yang merawatnya memohon maaf kerana mendapati pihaknya melakukan kesilapan.

Doktor itu mendakwa, petugas hospital itu terlupa memadamkan laporan diagnosis pesakit terdahulu sebelum salinan sama diberikan kepada Wu.

Wu akhirnya dapat menarik nafas lega selepas disahkan tidak hamil selain tidak mengalami masalah kesihatan yang serius.