Lelaki lemas kereta jatuh sungai rupanya guru besar

PEMANDU Toyota Vios ditemui lemas selepas keretanya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Lama, Jitra, hari ini disahkan sebagai Mohamad Noor Ismail.

Mangsa berusia 57 tahun itu adalah Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tandop Besar, Kuala Nerang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, mangsa menetap di Taman Seri Aman, Jitra dan memandu kereta seorang diri ketika kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dari arah bandar Darulaman menghala ke Malau dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terlanggar penghadang jalan.

“Berikutan itu, kereta mangsa terjatuh ke dalam sungai. Hasil bantuan bomba, kereta itu dikeluarkan dari sungai dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa masih berada dalam kereta.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Jitra sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tujuan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan mayat seorang lelaki ditemui dalam sebuah kereta Toyota Vios yang terbabas dan terjunam ke sungai di Kampung Lama.

Mayat lelaki berusia 50-an itu dikeluarkan dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra sebelum diserahkan kepada polis

Berita berkaitan

• ‘Lemas terperangkap kereta jatuh sungai’