Lelaki liwat anak jiran lebih 20 kali ditahan

POLIS menahan seorang lelaki selepas didapati meliwat anak jirannya lebih 20 kali apabila dia membawa kanak-kanak lelaki itu keluar berjalan-jalan, termasuk bermalam di sebuah hotel bajet di Butterworth, sejak Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun memaklumkan anak lelakinya berusia lapan tahun mengadu sakit dan pedih di bahagian duburnya setiap kali keluar dengan suspek berusia 57 tahun itu.

“Wanita itu membuat laporan polis pada 28 Mac lalu dan menurut ibu murid Tahun Dua berkenaan, lelaki itu beberapa kali membawa mangsa keluar bersiar-siar dalam pengetahuannya, termasuk terbaru pada 17 Mac lepas membawanya (kanak-kanak lelaki) tidur di sebuah hotel bajet.

“Anaknya juga beberapa kali mengadu bahagian dubur mangsa terasa sakit dan pedih. Wanita itu membuat laporan polis selepas mengesyaki ada yang tidak kena berdasarkan apa yang diceritakan kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata, polis membawa mangsa mendapatkan rawatan serta pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu telah diliwat sebelum menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, polis melengkapkan kertas siasatan dan pihak Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mendakwa lelaki yang belum berkahwin serta tidak bekerja itu di Mahkamah Butterworth esok dengan 23 pertuduhan meliwat.