Lelaki Russia kehabisan wang dihantar ke kedutaan

JURUTERA kargo warga Russia yang tular semalam kerana meminta makanan selepas kehabisan wang sudah dihantar ke Kedutaan Russia hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, lelaki berusia 42 tahun itu dihantar oleh polis ke Kedutaan Russia.

Beliau berkata, polis menemui lelaki itu berlegar-legar di hadapan sebuah pasar raya di Temerloh jam 4.30 petang semalam sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, lelaki bernama Maxim Lapin ,42, yang berasal dari Moscow itu masuk ke Malaysia pada 17 Mac lalu melalui Bukit Kayu Hitam dan seorang ‘backpackers’ yang mahu melancong.

Semalam gambar lelaki itu duduk di luar sebuah restoran sambil memegang kertas yang bertulis ‘I can’t go home and have no money, I need a food’, tular di media sosial.

Mohd Yusri berkata, lelaki berkenaan berada di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum ke Kuantan dan berjumpa dengan dua lagi rakan senegaranya.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan, dia berada di Kuantan dan berusaha untuk pulang ke negara asal namun tiket penerbangannya dibatalkan.

“Dia yang gagal menghubungi dua rakannya dan berseorangan menumpang sebuah lori untuk ke Kuala Lumpur namun diturunkan di Temerloh semalam,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu yang sampai ke Kedutaan Russia di Kuala Lumpur mengucapkan ribuan terima kasih kepada polis dan rakyat Malaysia yang membantunya,