Lemas selepas selamatkan dua jiran

SEORANG remaja lemas selepas menyelamatkan dua jirannya yang hampir lemas ketika berkelah di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, Hulu Terengganu, petang semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa, Faris Iskandar Mohd Radhi, 19, yang juga pelajar sebuah kolej bersama 12 saudara dan jiran berkelah di Sungai Kelemin.

Difahamkan sebelum kejadian, konvoi membabitkan empat kenderaan pacuan empat roda dari Kampung Bukit Losong, Kuala Terengganu ke lokasi kejadian untuk berkelah di sungai berkenaan pada 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, kumpulan itu mengharungi perjalanan selama dua jam dengan menggunakan laluan balak dan hutan yang terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuala Berang.

“Kejadian berlaku ketika Faris Iskandar dikatakan cuba menyelamatkan dua jirannya, Mohd Thaqiff Harry Mohd Fadhil, 11, dan Mohd Fakhri Mohd Nor, 28, yang hampir lemas ketika mandi di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Katanya, menurut bapa mangsa, Mohd Radhi Kamaruddin, 49, ketika dia bersama mangsa sedang berehat, mereka dapati Mohd Thaqiff Harry dan Mohd Fakhri yang sedang berenang hampir lemas.

Melihat keadaan itu, mangsa bertindak segera terjun ke sungai dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak berusia 11 tahun.

“Mangsa kemudian terjun semula ke sungai bagi menyelamatkan Mohd Fakhri dan ketika berenang mangsa dikatakan menghadapi kesukaran sebaik tiba di tengah sungai sebelum kelibatnya hilang di permukaan air. Mohd Fakhri berjaya diselamatkan,” katanya.

Mohd Adli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa digerakkan sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.10 petang.

Katanya, operasi SAR dijalankan sepasukan anggota bomba dengan bantuan penduduk kampung sebelum mayat Faris Iskandar ditemui bapanya 7.33 malam.

“Mayat dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris,” katanya.