Lencun enam jam

PANASNYA tidak ubah seperti dalam sauna sehingga ada antara petugas barisan hadapan yang memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) hampir pitam keletihan.

Malah, cabaran mengerjakan ibadah puasa sambil melakukan saringan kesihatan terhadap penuntut atau warga Malaysia yang baru tiba dari luar negara sangat menguji kekuatan mental dan fizikal.

Situasi getir itu turut dilalui Leftenan Muda Angkatan Pertahanan Awam (APM) Nurul Nadirah Shamsul Liani, 29, yang hampir pengsan selepas lebih enam jam menyarung PPE.

Dia memberitahu ditugaskan menyambut dan menyelia lebih 400 penuntut Malaysia yang baru tiba dari Timur Tengah dan dihantar ke Hotel Ibis di Kuala Lumpur, untuk dikuarantin, kelmarin.

“Saya mula tugas itu jam 8.30 pagi dan memakai PPE sehingga jam 2.30 petang.

“Ketika memakai PPE, peluh keluar tanpa henti hingga tubuh lencun lebih-lebih lagi cuaca panas ketika itu,” katanya.

Menurutnya, tidak sampai 15 minit memakai PPE, dia berasa haus dan tidak selesa namun menguatkan semangat demi kerja diamanahkan.

“Ketika itu kami menyelia lebih 400 penuntut Malaysia dari Kaherah, Mesir dengan menaiki 20 bas persiaran.

“Saya dan anggota seketeriat APM menguruskan pendaftaran masuk semua penuntut dikuarantin itu, manakala kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan tugas saringan virus Covid-19,” katanya.

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melepaskan lelah seketika selepas menguruskan penuntut Malaysia yang baru tiba dari Kaherah, Mesir.
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melepaskan lelah seketika selepas menguruskan penuntut Malaysia yang baru tiba dari Kaherah, Mesir.

Menurutnya, mereka perlu memakai PPE bagi mengelak jangkitan virus Covid-19 yang mungkin dibawa penuntut terbabit.

“Selepas hampir 4 jam, telinga saya berdengung dan kepala berdenyut dipercayai akibat kepanasan.

“Saya turut berasa pedih ulu hati dan nyaris muntah. Mulut kering dan badan menggigil hingga hilang fokus,” katanya.

Situasi sama turut dirasai beberapa petugas lain yang muntah dan tidak mampu berdiri meneruskan tugas.

“Melihat keadaan itu, kami diharuskan berbuka puasa berikutan bimbang kesihatan terjejas. Bagaimanapun saya dapat menyambung tugas selepas berehat seketika,” katanya.

Menurutnya, cabaran dihadapi itu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya berkhidmat sebagai anggota APM serta berjasa kepada negara.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19