Lepas PKP baru boleh jumpa ibu ayah [METROTV]

“SETIAP kali berasa rindukan ibu dan ayah, saya serta adik-adik akan berdoa supaya rasa rindu ini hilang,” kata Hussain Izzuddin Che Mamad, 9.

Dia bersama dua adiknya, Hassan Nasruddin, 7, dan Ali Akimuddin, 6, dihantar ke Pusat Kuarantin Covid-19 Marang (PKCM), sejak 7 April lalu selepas mempunyai kontak dengan individu dalam siasatan (PUI) di Pusat Pengajian Sheikh Daud al Fatoni (PPSDAF), Pasir Putih, Marang.

Tiga beradik itu antara 15 individu dalam pemantauan (PUS) yang dibenarkan pulang hari ini selepas disahkan negatif Covid-19.

Hussain berkata, sepanjang berada di PKCM dia yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan dua adiknya itu.

“Jika adik menangis kerana rindukan ibu, Norhidayah Abdul Ghani, 35, dan ayah, Che Mamad Che Mud, 50, saya akan memujuk mereka dengan bermain karom dan dam.

“Sebelum ini saya dan adik-adik sudah biasa berjauhan dengan ibu dan ayah kerana belajar serta tinggal di PPSDAF.

“Cuma kali ini berbeza kerana kami tidak boleh berjumpa langsung dengan keluarga sedangkan jika di PPSDAF, ibu dan ayah datang menjenguk seminggu sekali,” katanya.

Menurutnya, dia dan dua adiknya memenuhi masa terluang dengan mengaji al-Quran dan bermain untuk menghilangkan rasa rindu kepada keluarga.

“Saya dan adik-adik sangat gembira kerana disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun kami difahamkan tidak boleh menemui ibu dan ayah sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perlu terus kekal di PPSDAF.

“Sedih juga tidak dapat jumpa ibu dan ayah biarpun sudah disahkan negatif Covid-19 kerana hampir sebulan tidak jumpa mereka,” katanya.

HUSSAIN Izzuddin (tengah) memeluk dua adiknya, Hassan Nasruddin, dan Ali Akimuddin. FOTO Ghazali Kori
HUSSAIN Izzuddin (tengah) memeluk dua adiknya, Hassan Nasruddin, dan Ali Akimuddin. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, Mudir PPSDAF, Mat Najid Che Long, 60, berkata, dia bersyukur kerana semua pelajar dan kakitangan PPSDAF disahkan negatif Covid-19 dan dibenarkan pulang.

“Kami dihantar ke PKCM kerana seorang daripada pelajar dari Kelantan mempunyai kotak rapat dengan individu yang positif Covid-19 ketika pulang ke kampung.

“Apabila pemeriksaan dijalankan ke atas pelajar, ada dalam kalangan mereka yang demam menyebabkan kami semua perlu menjalankan pemeriksaan Covid-19 dan dikuarantin di PKCM itu.

“Cemas juga apabila menjadi PUS di PKCM, namun kami reda dengan ujian ini dan mengikuti segala arahan yang diberikan untuk kebaikan bersama,” katanya.

Menurutnya, sepanjang dikuarantin dia tetap meneruskan pengajian kitab dan al-Quran bersama semua pelajarnya di PKCM.

“Saya juga menjalankan pengajian melalui dalam talian untuk pelajar dan penduduk kampung selepas solat Asar.

“Malah, kami membaca Yasin dan tahlil selepas solat setiap hari untuk mendoakan kesejahteraan bersama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19