Lesen balak membawa bala?

Isu banjir tidak pernah selesai dan saban tahun pasti puluhan ribu menjadi mangsanya.

Bencana alam adalah punca atau tangan manusia sendiri yang ‘memanggil-manggil’ banjir ini.

Ikuti wawancara bersama Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), DR MOHD YUSOFF ISHAK dan wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengupas isu ini.

Pantai timur umpama jadi ‘sarang banjir.’ Mengapa?

Ia adalah fenomena tahunan yang berlaku di negeri berkenaan namun pembuat dasar tidak boleh memilih jalan selamat dengan menyatakan ia berpunca akibat hujan lebat.

Berdasarkan yang kita semua maklum, memang benar kemusnahan alam sekitar ada kaitan dengan bencana alam dan ia sudah termaktub sebagai ‘buku teks’ dalam pengajian alam sekitar ini.

Kita lihat pembuat dasar lebih selesa untuk memberikan lesen pembalakan sebagai kaedah untuk menjana pendapatan sedangkan ia memberi kesan kepada alam sekitar.

Kita perlu membincangkan masalah ini secara realiti dan meletakkan penyelesaian jangka panjang sebagai objektif utama.

Kertas putih berhubung isu banjir?

Saya setuju dan ingin cadangkan kepada kerajaan supaya membentangkan satu kertas putih iaitu kajian berhubung bencana alam yang memperincikan kos kemusnahan termasuk dana khusus daripada kerajaan, dengan keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti pembalakan.

Cuba kita timbang tara semula, adakah kos kerugian lebih besar atau keuntungan lebih besar.

Ini penting supaya kita dapat meletakkan posisi yang betul dalam menangani isu bencana seperti banjir.

Kertas putih ini perlu dibentang di Dewan Rakyat supaya semua pihak sedar tentang kos berkaitan banjir ini.  Ini perlu disusuli dengan komitmen dalam mengurangkan impak banjir di kawasan terjejas dengan mengambil kira fakor tempatan seperti fenomena air pasang besar, faktor El Nino serta kedegilan penghuni kawasan rendah dan berisiko untuk berpindah.

Sudah sampai masanya pembuat dasar memikirkan jalan terbaik untuk mengurangkan risiko banjir ini kepada penduduk dan tidak hanya memilih jalan selamat dengan meletakkan alasan kepada hujan lebat atau air pasang besar.

Kita faham tentang air pasang besar itu memang berlaku, namun perlu ada satu inisiatif konkrit bagi menekuni nasib rakyat yang hidup di lapangan.

DR Mohd Yusoff. FOTO Arkib NSTP
DR Mohd Yusoff. FOTO Arkib NSTP

Apakah wujud pertalian antara kerosakan alam semula jadi dengan bencana alam?

Ya, ada pertalian namun kesan langsung itu sukar untuk dilihat memandangkan bentuk muka bumi Malaysia yang unik. Ia  sebagaimana dibuktikan dalam kajian di Hubbard Brook, Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa kemusnahan alam sekitar kawasan hutan sememangnya mempunyai perkaitan dengan bencana alam seperti banjir. Kajian di Hubbard Brook ini merupakan topik utama dalam asas pengajian alam sekitar.

Tetapi, secara asasnya, aktiviti pembalakan akan mencetekkan paras sungai seterusnya air lebihan sungai itu akan membanjiri kawasan rendah.

Kes di negara ini juga sama iaitu memang wujud syarikat pembalakan yang mematuhi peraturan namun kita tidak boleh nafikan masih ada syarikat yang tidak berbuat demikian dan hanya memikirkan keuntungan mereka semata-mata.

Inisiatif boleh diambil untuk mengekang bencana ini daripada berlaku pada masa depan?

Ada pelbagai pandangan berhubung perkara ini seperti penyelenggaraan saluran, mendalamkan paras sungai, menyediakan longkang besar namun ia semua untuk jangka pendek saja.

Fenomena banjir di negara ini ada dua keadaan. Pertama, disebabkan oleh air pasang besar dan kedua, kita panggilnya sebagai ‘banjir termenung’ iaitu limpahan air yang tidak mengalir dan bergenang dalam masa yang lama.

Pembuat dasar perlu memperbanyakkan kawasan tadahan air untuk mengurangkan risiko banjir dan menjaga kawasan tadahan air itu sebaiknya tanpa diceroboh.

Ini memerlukan rombakan minda yang menyeluruh supaya pembuat dasar tidak lagi memberi pelbagai alasan sebaliknya mencari jalan penyelesaian jangka panjang dalam masalah ini.

Apakah wujud role model negara yang berjaya mengatasi masalah ini dengan pembinaan saluran besar atau sebagainya?

Jawapan khusus tiada. Ini kerana banjir adalah fenomena alam dan bagi negara yang berada di kawasan monsun tropika sama seperti negara ini, mereka hanya boleh mempertingkatkan data ramalan dan memastikan sistem saluran berada pada tahap terbaik.

Menerusi kecanggihan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) ini, kita boleh meramal kejadian banjir dalam tempoh setahun sebelum ia berlaku hasil daripada corak serta data empirikal yang ada.

Ramalan bencana banjir ini dapat mengurangkan kos kerugian yang dihadapi oleh masyarakat awam serta meningkatkan kesiapsagaan agensi berkaitan.

Kita tidak boleh lagi bersikap reda semata-mata sebaliknya berusaha untuk mencari pendekatan terbaik dalam menyelesaikan isu banjir ini.