Letupan Beirut: Bantuan kemanusiaan mula disalur

Perancis mula mengerahkan pasukan bantuan menerusi penerbangan khas ke ibu kota negara tersebut. – Foto file

BEIRUT: Susulan letupan dahsyat di Lubnan pada Selasa, beberapa negara mula mengerahkan bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bentuk bagi membantu meringankan beban negara tersebut.

Antaranya, Perancis mula mengerahkan pasukan bantuan menerusi penerbangan khas ke ibu kota Beirut.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata bantuan itu diberikan bagi membantu meringankan beban negara tersebut menerusi dua pesawat pasukan penyelamat negara.

“Bantuan itu dijangka sampai pada petang Rabu.

“Lubnan juga merupakan bekas bekas wilayah perlindungan Perancis dan negara tersebut terus kekalkan hubungan politik dan ekonomi yang erat.

Sementara itu, di Paris, pengawasan khusus akan dilakukan terhadap mangsa letupan yang ditempatkan di Gereja Notre Dame Maronite manakala Menara Eiffel akan digelapkan pada tengah malam sebagai tanda berkabung.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Palang Merah Antarabangsa menzahirkan kerjasama dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UEA), dengan menghantar bekalan bantuan ke Beirut menerusi penerbangan dari Dubai.

Bekalan itu digunakan untuk merawat mangsa yang cedera terkena serpihan kaca susulan letupan.

Bantuan itu termasuk 30 tan bekalan perubatan susulan permintaan Menteri Kesihatan Lubnan dan bekalan itu sampai semalam.

Britain pula menyediakan pakej sokongan kemanusiaan berjumlah AS$6.6 juta kepada Lubnan

Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab berkata pasukan mencari dan menyelamat serta pakar perubatan turut dihantar dalam misi bantuan itu.

“Selain itu, bantuan kapal Tentera Laut Diraja Britain juga dikerahkan bagi membantu menilai kerosakan di Pelabuhan Beirut akibat letupan,” katanya yang dipetik laporan agensi.

Raab bertekad melakukan siasatan penuh, teliti dan ketat terhadap letupan itu bagi mencari pihak yang bertanggungjawab.

Iran pula mengerahkan bantuan kemanusiaan meliputi makanan, kelengkapan perubatan, doktor dan petugas kesihatan bagi membantu mereka yang terjejas.

Ibu kota Beirut musnah selepas kejadian letupan dahsyat yang berlaku pada Rabu dan mengakibatkan ratusan penduduk terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.

Letupan pada petang Selasa di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut, yang digunakan untuk menyimpan hampir 3,000 tan bahan kimia ammonium nitrat.