Letupan Lubnan: 16 kakitangan pelabuhan ditahan

Beirut: Enam belas kakitangan di pelabuhan Beirut, ditahan berhubung letupan maut yang menghancurkan sebahagian besar bandar itu, kata pendakwa raya tentera, pada Khamis.

Pihak berkuasa Lubnan mengumumkan hasil siasatan, letupan pada Selasa itu berpunca daripada nyalaan api yang membakar 2,750 tan gas ammonium nitrat yang disimpan dalam gudang di pelabuhan berkenaan.

Menteri Luar Lubnan menerusi radio Perancis pada Khamis berkata, jawatankuasa penyiasatan diberikan empat hari untuk menahan mereka yang bertanggungjawab terhadap letupan terbabit, yang meragut lebih 130 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang.

Pendakwa raya tentera, Fadi Akiki dalam satu kenyataan berkata, seramai 18 kakitangan Pelabuhan Beirut dipanggil untuk disoal siasat dengan 16 daripadanya ditahan sementara bagi menunggu siasatan lanjut.

Mereka termasuk pegawai pelabuhan, kastam, pekerja penyelenggaraan serta pengurus mereka, kata Akiki.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang pegawai mengesahkan kepada AFP, bank pusat memerintahkan pembekuan aset tujuh pegawai pelabuhan dan kastam termasuk Ketua Pengarah Kastam Lebanon, Badri Daher.

Pegawai itu mendedahkan perkara itu dengan syarat namanya tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa mengulas isu terbabit.

Sementara itu, sumber bank mengesahkan, semua bank perdagangan di negara itu menerima arahan yang juga untuk menarik semula kerahsiaan perbankan daripada akaun dimiliki atau mereka yang terbabit dengan soal siasat itu.

Berita berkaitan:

  • Bantuan antarabangsa tiba di Lubnan
  • Letupan Lubnan. Angka korban meningkat 113 orang
  • Ammonium nitrat punca letupan Lubnan
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Letupan Lubnan, ‘serangan mengerikan’ – Trump