Lincahnya Naufal [METROTV]

DILAHIRKAN dengan kecacatan tulang belakang atau spina bifida, siapa yang melihat Muhamad Naufal Nafiz Mohd Ridza, 6, pasti kagum dengan kelincahannya bergerak dengan aksi berguling dan berpusing.

Malah ketika Muhamad Naufal ‘melipat’ tubuhnya ke belakang sehingga kepala mencecah punggung boleh menimbulkan rasa risau.

Ibunya, Norziana Abdul Rahman, 32, berkata, bahagian pinggang ke bawah anak bongsu dari dua beradik itu tidak dapat berfungsi termasuk kedua kakinya yang membengkok serta kecil.

AKSI Muhamad Naufal ‘melipat’ tubuhnya ke belakang. FOTO Siti Rohana Idris
AKSI Muhamad Naufal ‘melipat’ tubuhnya ke belakang. FOTO Siti Rohana Idris

“Ketika mengandungkan Naufal, saya tidak mengalami sebarang masalah cuma di akhir kehamilan saja darah naik menyebabkan proses kelahiran terpaksa dibuat melalui pembedahan.

“Sebaik dimaklumkan bayi saya mengalami kecacatan sebegitu, pada mulanya agak sukar menerima hakikat namun lama-kelamaan saya akur dengan takdir dan menganggap ada hikmahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Pas, Kuala Krai, baru-baru ini.

Norziana berkata, anak istimewanya itu juga perlu memakai lampin pakai buang kerana mengalami masalah membuang air kecil dan besar.

Katanya, setakat ini tiada masalah besar bagi mereka sekeluarga kerana Naufal mampu bergerak seperti orang biasa cuma hanya di sekitar rumah saja.

“Naufal seorang yang aktif dan bukan saja bergerak di lantai, dia juga gemar memanjat kerusi atau meja dan boleh dikatakan sekelip mata saja pergerakan itu dilakukan.

“Ada juga rasa risau tapi setakat ini Alhamdulillah tiada lagi perkara yang tidak diingini berlaku. Lagipun dia sentiasa dalam pengawasan kami,” katanya.

Ditanya bagaimana persediaan Muhamad Naufal memasuki alam persekolahan nanti, Norziana berkata, dia tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana yakin akan dipermudahkan urusan anaknya itu.

Dia berkata, Muhamad Naufal kini belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di kampung terbabit dan setakat ini semuanya berjalan lancar malah anaknya juga diterima dengan baik oleh kanak-kanak lain disebabkan perwatakannya yang agak peramah dan pandai membawa diri.

“Tahun hadapan Naufal akan menjejakkan kaki ke Tahun Satu dan mujurlah sekolah hanya 100 meter dari rumah dan saya boleh berulang melihat keadaannya namun saya yakin Naufal boleh menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.