Lirik “Hey Jude”‘ tulisan tangan Paul McCartney terjual RM3.92 juta

McCartney menulis lirik lagu tersebut selepas John Lennon berpisah dengan isteri pertamanya Cynthia sebelum menjalinkan hubungan dengan artis Jepun Yoko Ono – Gambar The Guardian

LIRIK tulisan tangan Sir Paul McCartney untuk lagu "Hey Jude" dendangan kumpulan The Beatles telah dijual dengan harga hampir RM3.92 juta (AS$910,000) menerusi satu lelongan atas talian.

Sebelum jualan, jurucakap Pusat Lelongan Julien, Jason Watkins telah menerangkan nota-nota yang dicatatkan oleh McCartney untuk rakaman studio "Hey Jude" 1968 sangat berharga.

"Ini adalah lagu yang sangat ikonik yang diketahui oleh ramai orang.

"Lirik tulisan tangan ini digunakan di studio sebagai panduan ketika mereka merakamkannya," katanya seperti dilapor The Guardian.

Jualan dibuat secara atas talian dan di Hard Rock Cafe di Times Square, New York, disebabkan pandemik COVID-19.

The Beatles merupakan salah sebuah kumpulan muzik paling berpengaruh dalam sejarah.

McCartney menulis lirik lagu tersebut selepas John Lennon berpisah dengan isteri pertamanya Cynthia sebelum menjalinkan hubungan dengan artis Jepun, Yoko Ono.

Pada awalnya lagu itu diberi judul "Hey Jules" yang digubah untuk memujuk anak lelaki Lenno, Julian yang bersedih atas penceraian ibu bapanya.

Lelongan secara atas talian pada Jumaat itu sempena 50 tahun perpecahan kumpulan legenda itu.

Selain lirik "Hey Jude", beberapa barangan lain turut dilelong antaranya satu drumhead bass vintaj dengan logo The Beatles yang digunakan semasa lawatan pertama ke Amerika Utara oleh band Inggeris itu pada tahun 1964.

Ia dijual pada harga RM861,960.00 manakala bekas abu rokok yang digunakan oleh pemain dram, Ringo Starr di studio rakaman Abbey Road di London memperoleh jualan RM140,068.50.