Luah rasa syukur

KEJAYAAN menghidupkan karakter Mia Adriana dalam drama 7 Hari Mencintaiku 2 baru-baru ini nyata mengangkat semula nama aktres jelita Siti Saleha ke tahap yang lebih tinggi dalam industri hiburan.

Membawakan watak itu dengan bersahaja dan penuh warna-warni, ramai penonton yang beremosi termasuk, graf kesabaran mereka juga seolah-olah diuji.

Lebih menarik, apabila setiap kali tayangan drama itu di slot Akasia TV3, jam 7 malam, pasti watak Mia menjadi ‘trending’ di media sosial sehingga ramai yang tak sabar menantikan episod akhirnya, hari ini.

Saleha berkata dia menerima banyak video yang memperlihatkan penonton mengalir air mata dan sangat bersyukur kerana drama dibintangi bersama Shukri Yahya itu diminati ramai.

“Saya dapat banyak video orang menangis. Ada juga video yang tunjuk kawan mereka menangis ketika menonton drama ini. Justeru, melihat maklum balas yang baik itu memberi satu kepuasan dan keterujaan untuk saya kerana lakonan dipersembahkan berjaya sampai di hati penonton.

“Saya percaya semua pelakon drama ini akan berasa bangga dengan lakonan mereka. Saya juga menangis, jika menonton drama atau filem yang memberi kesan. Jadi, ia satu signal yang baik kerana penonton berasa dekat dengan karakter dilakonkan itu.

“Secara keseluruhan, hampir semua karakter dalam drama ini memperlihatkan kematangan pada pembawakan watak. Malah, apa yang buatkan saya lebih seronok kerana fokus tidak hanya pada watak utama semata-mata, tetapi setiap karakter ada cerita mereka tersendiri dan memberi impak ketika tayangan.

“Saya akui musim kali ini lebih banyak suntikan emosi berbanding terdahulu. Saya rasa penonton bertambah sayang untuk setiap watak yang dibawakan pelakon,” katanya.

Menerusi drama adaptasi novel arahan Jamal Khan itu, Saleha mengakui agak keberatan untuk menerima tawaran musim kedua kerana bimbang dengan penerimaan yang tinggi daripada penonton.

“Pada mulanya memang agak berat hati untuk kembali membawa watak Mia kerana saya lihat pengakhiran pada musim pertama sudah cantik. Namun ketika ditawarkan untuk musim kedua, saya bimbang kerana penonton akan membuat perbandingan sekali gus jadi takut. Tambahan, musim pertama drama ini pernah fenomena dengan jumlah penonton yang tinggi.

“Tapi Alhamdulillah musim kedua turut mendapat maklum balas yang baik. Cuma pada 10 episod pertama. saya kena bahan dengan peminat setia drama ini. Meskipun menerima banyak komen negatif mengenai karakter Mia, namun saya lihat daripada sudut yang baik dan bukti karakter dilakonkan itu sangat memberi kesan.

MAKIN bahagia dalam kehidupan berkeluarga, kembali beraksi dengan sokongan suami
MAKIN bahagia dalam kehidupan berkeluarga, kembali beraksi dengan sokongan suami

“Biarlah mereka sakit hati dengan watak yang saya bawakan tapi, menuju episod akhir ini ramai yang sudah mula sayang dan kasihan pada Mia. Ini membuktikan ada evolusi dalam karakter saya kerana mendapat pelbagai reaksi daripada penonton,” katanya.

Tambah Saleha lagi, ketika ditawarkan drama terbabit, dia menghubungi Shukri dan Liza Abdullah kerana mahu mereka turut serta dalam naskhah itu.

“Saya menghubungi Shukri dan Liza terlebih dahulu sebelum menerima tawaran ini. Kalau mereka buat, baru saya akan bersama untuk musim kedua ini. Bukan hanya mereka, malah beberapa pelakon lain juga saya bertanya.

“Jujurnya, saya sudah lama tidak berlakon drama episod yang panjang. Kali terakhir adalah 7 Hari Mencintaiku musim pertama pada 2017 lalu. Ini kerana, selepas berkahwin saya ingin memberi lebih komitmen terhadap rumah tangga.

“Namun atas sokongan suami dan semangat pelakon lain yang kembali menjayakan musim kedua ini, saya terus bersetuju tanpa memikirkan pengharapan penonton. Apa yang menjadi kerisauan adalah jika musim kedua ini tidak menjadi. Tapi, syukur drama ini dihujani komen positif yang banyak hingga ada yang puji lakonan saya lebih berkesan dan ada evolusi,” katanya.

Siapa sangka, Saleha juga mengakui dia amat selesa sepanjang bekerjasama dengan Shukri serta tenaga produksi drama itu yang dianggap berjaya memberi komitmen terbaik.

“Saya dan Shukri memang tiada masalah untuk mencipta keserasian. Cuma, saya ada satu masalah yang mana cuba elakkan membawa terlalu banyak watak romantis. Sebelum kahwin, saya okey tapi, selepas bergelar isteri memang dikurangkan.

“Tak sangka juga pihak produksi dan Shukri faham dengan keadaan saya. Malah, kami bersetuju kurangkan babak romantis dan untuk menciptanya tak perlu pun bersentuhan. Babak itu boleh berjaya dengan lontaran dialog atau dengan pandangan diberikan,” katanya.

Strategi dalam kerjaya lakonan

Lebih 12 tahun mencanai bakat dalam dunia lakonan, Saleha kini semakin selektif dalam menyusun strategi bagi setiap drama lakonannya.

“Setiap tahun saya sudah ada perancangan untuk menyusun kerjaya seni sebagai pelakon. Selalunya, saya akan buat dua drama bersiri dalam setahun.

“Selepas, membintangi drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini saya akan berlakon pula drama dalam talian (online) berjudul Black 2 melalui Viu Malaysia.

“Tak dinafikan, saya memang memilih hanya sesekali saja muncul berlakon. Ini kerana, pada tahap sekarang saya okay dengan cara ini,” katanya.

Ditanya juga mengenai kehidupan rumah tangga dan perancangan untuk menimang cahaya mata, Saleha sekadar menjawab ringkas, dia bahagia

“Untuk soal anak, mungkin belum ada rezeki buat kami lagi. Apapun, saya bersyukur dan gembira kerana semuanya baik-baik. Terima kasih mendoakan saya dan suami,” katanya.