‘Lubuk’ kripto curi karan

UNTUNG jutaan ringgit namun semuanya diperoleh hasil kegiatan ‘mencuri’ bekalan elektrik bagi perlombongan mata wang digital atau bitcoin.

Itu antara aktiviti perlombongan bitcoin yang berjaya dibongkar susulan operasi di pusat perniagaan San Suria City, Kota Warisan di Sepang, semalam.

Operasi mengekang penggunaan elektrik secara curang itu bermula jam 8 pagi membabitkan pihak Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Operasi bersepadu itu turut disertai anggota polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Ir Abdul Rahim Ibrahim berkata, operasi bersepadu itu diadakan terhadap premis itu hasil risikan pihaknya dengan kerjasama MP Sepang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati premis itu melakukan kegiatan itu dengan menggunakan bekalan elektrik secara salah.

KAKITANGAN TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik. FOTO Luqman Hakim Zubir
KAKITANGAN TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik. FOTO Luqman Hakim Zubir

“Premis itu didapati melakukan usikan pada meter dan melakukan sambungan secara haram sehingga menyebabkan ia gagal merekod bacaan dengan sempurna.

“Dalam operasi itu, penguatkuasa MP Sepang bertindak menyita sejumlah pelayan komputer di premis diserbu. Malah bekalan elektrik dan air ke premis itu turut dipotong,” katanya.

Beliau berkata, ada 11 premis haram melombong bitcoin di kawasan itu selain beberapa lokasi di Kota Warisan, Taman Saujana dan Pusat Perniagaan Gemilang, Dengkil di Sepang.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 37 (1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14), Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).

“Sekiranya sabit kesalahan, individu yang melakukannya boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan kedua,” katanya.

ANTARA peralatan melombong bitcoin yang dirampas. FOTO Luqman Hakim Zubir
ANTARA peralatan melombong bitcoin yang dirampas. FOTO Luqman Hakim Zubir