Luqman diperkenalkan secara rasmi

PENYERANG baharu KV Kortrijk (KVK) dari Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin diperkenalkan secara rasmi oleh pengurusan kelab Belgium itu.

Luqman, 18, yang menempuh penerbangan hampir 13 jam dari Malaysia akhirnya tiba di Brussels jam 1 petang waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia) dengan disambut ejennya dan wakil kelab KVK.

Dia kemudian di bawa ke Stadium Guldensporen yang juga gelanggang rasmi pasukan untuk diperkenalkan secara rasmi.

Malah, Luqman juga turut menyarung jersi pasukan dengan menggunakan nombor 9 sekali gus menandakan dia bakal mengetuai jentera serangan pasukan selepas ini.

Berdasarkan jadual Luqman, dia akan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat tinggalnya yang disediakan oleh KVK.

Sepanjang tempoh kuarantin itu, Luqman tetap menjalani latihan kecergasan bagi memastikan dia bersedia sebelum turun secara rasmi berlatih bersama pasukan hujung bulan ini.

Sebelum ini, pemain berusia 18 tahun itu mengikat kontrak lima tahun dengan KVK sekali gus muncul pemain tempatan pertama beraksi dalam liga utama Eropah.