Maaf 500 kali

SEPULUH pelancong yang ingkar perintah berkurung di sebuah bandar di utara India, dihukum menulis perkataan ‘I am so sorry’ (Saya minta maaf) sebanyak 500 kali.

The Jakarta Post melaporkan kumpulan pelancong Israel, Mexico, Australia dan Austria itu ditahan ketika berjalan-jalan di Rishikesh, bandar di mana kumpulan Beatles menjalani latihan kerohanian di Ashram pada 1968.

Pegawai polis tempatan, Vinod Sharma berkata, semua mereka dihukum menulis perkataan ‘I did not follow the rules of lockdown so I am so sorry’ (Saya minta maaf sebab tak ikut peraturan berkurung).

Katanya, hukuman luar biasa itu bertujuan mengajar mereka berikutan lebih 700 pelancong Amerika Syarikat, Australia, Mexico dan Israel menetap di kawasan terbabit dikatakan melanggar peraturan itu.

“Polis mengarahkan pengurusan hotel di kawasan itu membenarkan pelancong keluar dari penginapan, hanya jika mereka ditemani penduduk tempatan.

“Sesiapa yang tak ikut arahan ini berdepan tindakan undang-undang.

“Polis ambil pendekatan hukuman terbabit selain memakai topi keledar bermotifkan virus berkenaan bagi menggalakkan orang ramai duduk di rumah bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Ahad lalu, polis menahan sembilan individu yang melanggar sekatan jalan di Patiala, Punjab dan menyerang polis sehingga menyebabkan seorang pegawai putus tangan.

Pada awalnya, kumpulan terbabit diarahkan berpatah balik namun mereka bertindak ganas dengan melanggar sekatan.

Ahli kumpulan itu mengeluarkan pedang menyebabkan tangan seorang anggota polis putus, manakala enam lagi cedera.

India melaksanakan perintah berkurung penghujung Mac lalu dengan membenarkan rakyat keluar rumah hanya untuk membeli barang keperluan penting seperti makanan dan ubat.

Perdana Menteri, Narendra Modi dijangka melanjutkan lagi perintah berkurung yang berakhir Selasa ini kepada dua minggu lagi.

Setakat Ahad, India merekodkan lebih 8,300 jangkitan kes Covid-19 dengan 273 kematian.