Magis dekorasi 3D Siew Heng

DEKORASI tiga dimensi (3D) pada jeli menjadi kemahiran ibu dua anak, Boon Siew Heng sehingga menarik perhatian ramai.

Kemahiran itu mula mendapat perhatian apabila Siew Heng berkongsi gambar sebahagian hasil kreativitinya menerusi laman Masak Apa Tak Jadi di Facebook (FB).

Siew Heng, 37, berkata, kemahiran itu dipelajarinya ketika menyertai kursus selama dua hari pada 2016.

Disebabkan minat, dia tidak putus asa mencuba sehingga mahir dan kesungguhannya berhasil apabila ditawarkan menjadi tenaga pengajar khusus dalam bidang pengajian jeli 3D di Akademi Pattisserie di Sydney, Australia bermula awal tahun ini.

Di samping itu, dia turut mengambil tempahan menghasilkan jeli 3D dan menjualnya kepada mereka yang berminat.

ANTARA hasil kreativiti Siew Heng. FOTO ihsan Boon Siew Heng
ANTARA hasil kreativiti Siew Heng. FOTO ihsan Boon Siew Heng

“Saya tidak tahu berbakat dalam bidang ini kerana minat itu muncul selepas menyertai kursus dekorasi jeli 3D.

“Bertitik tolak daripada situ, saya terus berlatih untuk asah kemahiran dan dalam tempoh itu, banyak juga percubaan dan kesilapan dibuat.

“Lama kelamaan, saya mahir dan pernah menganjurkan kelas persendirian sebelum ditawarkan menjadi tenaga pengajar di akademi dalam bidang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, proses menghasilkan dekorasi 3D di atas jeli tidak mudah kerana memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi.

Katanya, masa diperuntukkan pula bergantung dengan jenis rekaan dan kemahiran seseorang artis itu sendiri.

“Dekorasi itu dilakukan dengan menggunakan campuran rumpai laut dan santan. Proses penghasilannya rumit dan amat menguji kemahiran serta kesabaran walaupun sudah banyak kali melakukannya.

“Paling sukar ialah menghasilkan corak haiwan kerana memerlukan kemahiran mengukir dengan teliti pada bahagian tertentu misalnya bulu.

“Namun, kepuasan saya apabila melihat hasilnya dan bertambah gembira jika pelanggan turut berpuas hati,” katanya yang menetap di Sydney sejak 2001.

Di samping mengajar dan menyiapkan tempahan, Siew Heng pernah menguji kemahirannya dengan menyertai Pertandingan Pakar Antarabangsa kategori dekorasi bunga di Hanoi, Vietnam pada tahun lalu.

Penyertaannya membuahkan hasil apabila meraih pingat gangsa walaupun julung kali menyertainya.

Berkongsi hala tujunya, Siew Heng berkata, dia bercadang mengadakan kelas secara dalam talian dengan kerjasama kumpulan Masak Apa Tak Jadi.

“Jujurnya, saya terkejut apabila hantaran saya di kumpulan berkenaan mendapat maklum balas positif dan terharu kerana hasil kerja saya dihargai rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada semua dan sokongan itu menyuntik lagi semangat saya untuk menghasilkan kerja yang lebih baik,” katanya.