Mahkamah tolak tangguh hukuman penjara Nursahira

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar, hari ini, menolak permohonan pembantu kedai menangguhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya selepas didapati bersalah menghina polis pada 27 Mac lalu.

Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas menganggap kesalahan dilakukan Nursahira Mohd Mizuar, 20, adalah berat dan tiada alasan istimewa untuk mahkamah menangguh hukuman berkenaan.

Murtazadi dalam prosiding turut memaklumkan, mahkamah mendapati tertuduh tidak pernah meminta maaf kepada polis dan menyatakan kekesalan atas perbuatannya itu.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh memohon hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Nursahira ditangguhkan berikutan tertuduh sebelum ini tidak diwakili peguam selain keluarganya tidak mempunyai wang bagi membayar denda.

Pada 31 Mac lalu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada 10.12 malam, 27 Mac lalu.

Tertuduh, bagaimanapun, gagal membayar denda berkenaan menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua bulan ke atasnya.

Sementara itu, Naran yang ditemui memaklumkan, seorang usahawan tempatan bersimpati dan bersetuju menanggung kos guaman Nursahira.

Beliau berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan penangguhan hukuman ke Mahkamah Tinggi selepas permohonan penangguhan hukuman ditolak Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.

Dalam kejadian 27 Mac lalu, wanita itu ditahan polis 11.30 malam, selepas dia memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops Covid-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, kira-kira 9 malam.

Berita berkaitan

• Nursahira dipenjara lima bulan, gagal jelaskan denda

• Nursahira didenda RM10,000, penjara 3 bulan [METROTV]

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan