Mahligai romantis

KEMESRAAN aktres Mawar Rashid dengan suaminya, Raf Yaakob masih jelas terpancar dan terlihat tidak berkurangan meski pasangan itu sudah memiliki zuriat.

Masih bermanja dan bersikap romantis di media sosial, mereka juga tidak malu mempamerkan kebahagiaan ketika bersiaran secara langsung di Instagram Live sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mawar berkata, tiada rahsia yang spesifik namun sebagai pasangan perlu ada sikap untuk memastikan sesama pasangan berasa gembira dan bahagia disamping kita.

“Secara jujurnya perkahwinan saya masih baru. Jika tanya pasal rahsia kebahagiaan saya tidak berani, tapi hubungan suami isteri perlu saling berkomunikasi.

“Saya bersyukur Raf seorang suami yang sentiasa nak buat saya berasa gembira dengannya. Malah, saya juga berusaha untuk menjaga rumah tangga ini sebaik mungkin

dan membesarkan anak, Raden Muhammad Rafael.

“Tipu kalau saya kata rumah tangga tidak pernah ada masalah, semua pasangan akan melalui saat ini. Kalau tiada ia pasti pelik dan tidak normal, tapi dengan ujian yang Allah berikan itu yang mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

“Cuma lebih penting perlu tanya pada diri sendiri. Kita yang perlu ubah sifat ke arah kebaikan dan menjadikan rumah tangga yang dibina lebih indah. Saya sentiasa masih mencari dan sentiasa berfikir bagaimana nak bahagiakan suami,” katanya.

Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid melangsungkan pernikahan dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf yang juga adik kepada penyanyi dan cef selebriti popular, Fazley Yaakob pada 9 November 2017.

MAWAR tiada rahsia spesifik hubungan rumah tangga namun pastikan suami sentiasa bahagia
MAWAR tiada rahsia spesifik hubungan rumah tangga namun pastikan suami sentiasa bahagia

Lakonan

Di sebalik kebahagiaan yang dicipta, Mawar tidak terlepas daripada khabar angin buruk apabila ada yang mendakwa jika ingin mengambilnya berlakon perlu dipakejkan bersama kehadiran suaminya dalam drama terbabit.

Menyangkal dakwaan itu, Mawar bagaimanapun berkata, dia tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana produksi untuk mengambil suaminya berlakon bersama namun jika ada peluang mereka tidak menolaknya.

“Lama juga saya sudah tidak masuk set penggambaran. Memang ada dapat beberapa tawaran, tapi sebaik PKP diumum, semuanya ditangguhkan.

“Jujur memang rindu nak berlakon lagi kerana kerjaya ini adalah minat dan jiwa saya.

“Terus terang tidak pernah paksa atau wajib ambil suami saya berlakon. Cuma kalau ada rezeki berlakon bersama suami saya dan Raf terbuka untuk membawanya. Lagipun peminat kami suka melihat saya dan Raf bersama,” katanya.

Tambah Mawar, Raf mempunyai kerjayanya sendiri dan tidak semua tawaran boleh dilakukannya.

“Saya kalau dapat tawaran akan selalu tanya pihak produksi ada watak sampingan untuk suami. Ia sekadar pertanyaan dan tiada paksaan.

“Ada saja tawaran yang suami saya tidak terbabit sebelum ini. Saya okey saja buat seorang, cuma watak yang diberikan itu harus bersesuaian,” katanya.

Bazaar COD

Siapa sangka, di sebalik PKP yang dilanjutkan sehingga 28 April depan dan seluruh umat Islam bakal menyambut ketibaan Ramadan, Mawar bersama abangnya mencipta satu idea baharu bagi membantu peniaga kecil dan bazaar Ramadan untuk berniaga di platform media sosial dan laman web.

Mawar berkata, hari ini dia bakal melancarkan laman rasmi Bazaar COD dan akaun media sosial bagi mempromosikan produk makanan yang mereka ketengahkan sepanjang Ramadan.

“Alhamdulillah sekarang ini sudah ada 30 penyertaan peniaga kecil yang bersetuju untuk mempromosikan produk mereka di platform Bazaar COD. Saya sasarkan 300 peniaga menyertai Bazaar COD.

“Idea ini tercetus beberapa hari selepas PKP dan dimaklumkan bazaar Ramadan tidak dibenarkan dibuka. Jadi saya fikir apa langkah terbaik untuk membantu peniaga bazaar.

“Menerusi Bazaar COD, anda boleh melihat sendiri laman web ini akan memilih makanan apa yang ingin dibeli dan membuat tempahan terus dengan mereka. Kami hanya menyediakan platform untuk mempromosikan bisnes mereka.

“Diharapkan usaha ini dapat membantu peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk menjana pendapatan,” katanya.