‘Mak mohon maaf, kami sedih dengar’ [METROTV]

Kuala Lumpur: “Memang bimbang apabila mengenangkan emak di wad selepas dimasukkan ke hospital dan berdebar juga menanti keputusan ujian calitan saya sekeluarga yang dijangka keluar esok,” kata Madiana Misrol, 33.

Kisah Madiana yang juga ibu kepada seorang anak mendapat perhatian selepas wanita itu berkongsi video ibunya, Jainap Abdullah, 55, diambil petugas kesihatan di rumah dengan ambulans untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, kelmarin selepas dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, video itu sekadar dimuat naik untuk koleksi peribadi dan tidak menyangka ia mendapat perhatian warganet hingga tular di laman sosial.

Bercerita lanjut, Madiana yang menetap di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor berkata, dia dan ahli keluarga terkejut selepas mendapat tahu ibunya dijangkiti Covid-19.

“Memang terkejut kerana emak banyak menghabiskan masa di rumah, cuma dia ada ke sebuah pusat dialisis pada 1 Disember lalu bagi menjalani rawatan dan keesokan harinya, emak menjalani ujian saringan.

“Khamis lalu, emak ke pusat dialisis seperti biasa dan petangnya menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan keputusan ujian positif.

“Kelmarin (Jumaat lalu), ambulans datang dan membawa emak ke hospital,” katanya ketika dihubungi, semalam.

JAINAP mengucapkan selamat tinggal sebelum dibawa menaiki ambulans  ke hospital. FOTO Madiana Misrol
JAINAP mengucapkan selamat tinggal sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital. FOTO Madiana Misrol

Madiana berkata, sebelum ke hospital, ibunya ada meminta maaf selain mohon dihalalkan makan minumnya.

Katanya, ayat ibunya itu membuatkan dia dan adik-beradik lain sedih kerana segalanya berlaku dalam tempoh singkat.

“Emak pernah dimasukkan ke wad sebelum ini kerana masalah diabetes dan buah pinggang, tetapi adik bongsu, Nurulamiza yang menjaganya.

“Kini emak sendiri dan selain menghidap darah tinggi serta diabetes, masalah rabunnya juga agak serius, jadi itu yang merisaukan kami sekeluarga.

“Namun, saya ada menghubungi emak dan lega selepas dia memberitahu keadaannya yang dijaga dengan baik oleh jururawat dan doktor di wad,” katanya yang kini kuarantin di rumah selepas menjalani ujian calitan bersama 10 ahli keluarga lain di Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Kuala Selangor, semalam.

Madiana berkata, ramai individu memberikan kata semangat dan berdoa ibunya serta keluarganya selamat daripada risiko Covid-19.

JAINAP dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. FOTO Madiana Misrol
JAINAP dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. FOTO Madiana Misrol

“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan, tetapi ada juga komen sinis diterima seolah-olah mempersoalkan tindakan emak saya kerana keluar dari rumah selain menuduh emak sudah dijangkiti Covid-19 sejak dua minggu lalu sedangkan ia tidak benar.

“Bagi saya, tiada siapa yang mahu sakit tetapi sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19 sekalipun mengambil langkah berjaga-jaga.

“Jadi, saya mohon individu di luar sana supaya tidak mengecam mana-mana pesakit Covid-19 sebaliknya terus berikan sokongan supaya mereka tabah menghadapi ujian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19