Makan besar RM800 juta

Kuala Lumpur: Bina jalan raya menggunakan bahan berkualiti rendah, namun ‘untung’ diperoleh mencecah RM800 juta.

Itu antara tindakan rakus dua pengarah syarikat yang diberi amanah bagi melaksanakan 10 Projek Menaik Taraf Jalan di Negeri Sarawak.

Difahamkan jalan raya dibina hanya diletakkan lapisan tar dianggarkan hanya setebal dua inci di atas permukaan tanah tanpa lapisan batu kerikil dan pasir seperti termaktub di dalam syarat kontrak.

Akibatnya jalan dibina itu mudah rosak ketika dilalui kenderaan berat termasuk lori balak hingga menyusahkan penduduk yang menggunakannya sebagai jalan penghubung antara kawasan pedalaman.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat bergelar Datuk kerana disyaki melakukan rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit daripada Kementerian Pertahanan berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta itu, semalam.

Sumber berkata, kedua-dua pengarah syarikat berusia 44 tahun adalah rakan kongsi yang memiliki tiga syarikat yang memonopoli projek berkaitan.

“Semua mereka ditahan dalam satu operasi khas di Kuching, Sarawak hari ini (semalam).

“Siasatan mendapati projek pembinaan jalan menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak yang dinamakan Projek Jiwa Murni itu di bawah Kementerian Pertahanan dan dianugerahkan kepada syarikat berkenaan sejak 2010 hingga 2016,” katanya.

Katanya, banyak aduan yang diterima daripada masyarakat setempat berhubung keadaan jalan yang teruk disebabkan kualiti pembinaan yang tidak menepati spesifikasi.

“Ada jalan tidak lagi dapat digunakan dan rosak selepas beberapa bulan dibina. Kawasan yang terbabit adalah di Miri, Kapit, Ba’kelalan, Limbang dan Belaga.

“Hasil kajian teknikal mendapati jalan ini langsung tidak menepati piawaian pembinaan jalan yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jalan ini hanya diletakkan lapisan tar nipis setebal dua inci di atas permukaan tanah. Tiada lapisan batu kerikil dan pasir seperti dalam syarat kontrak,” katanya.

Difahamkan bahawa, Kerajaan Negeri Sarawak sudah mengarahkan JKR Negeri untuk membaik pulih dan menaik taraf jalan berkenaan kerana kegagalan kontraktor yang dilantik melaksanakannya.

“Ini menyebabkan kos bagi membaik pulih bertambah sekali ganda. Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

“Selain itu perkara paling mengejutkan adalah mengenai pelantikan empat kontraktor baharu oleh JKR Negeri.

“Ini kerana salah satu syarikat yang mendapat projek menaik taraf dan membaikpulih jalan itu disyaki dimiliki oleh pengarah syarikat yang ditahan,” katanya.

Sumber berkata, seharusnya syarikat di bawah kawalan suspek perlu disenarai hitam daripada memperoleh projek atas faktor kegagalan mereka melaksanakannya. Mereka perlu dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan.

“Tetapi sebaliknya apa yang berlaku, mereka diberikan lagi projek dengan menggunakan nama syarikat lain.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan penahanan itu.

Menurut beliau, siasatan kes itu dibuat dengan kerjasama Kementerian Pertahanan selepas laporan audit dalaman kementerian menunjukkan kegagalan projek terbabit.