Makcik Kiah sedia berkhidmat

ROBOT Makcik Kiah 19 (MCK19) akan digunakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di sini, bagi mengurangkan pendedahan petugas kesihatan ketika memeriksa dan merawat pesakit Covid-19.

Prototaip robot dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) adalah Robot Penghantaran Pertama Buatan Malaysia.

Ia diberi nama jolokan MCK19 iaitu Key Innovations Assisting Healthcare (Kiah), dan diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, sistem automasi itu dirancang untuk menggantikan petugas ketika mengedarkan sajian makanan bagi pesakit kategori satu dan dua yang menjalani kuarantin.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, pihaknya menyambut baik kolaborasi dengan UTM dan DF berkenaan.

Menurutnya, projek robotik itu mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“UKM juga berterima kasih di atas sokongan padu Mosti, KKM dan MTDC terutamanya bagi fasa percubaan ini,” katanya.

Difahamkan, percubaan klinikal terhadap keupayaan robot MCK19 akan dilakukan dalam tempoh yang terdekat.