Malaysia sambut baik gencatan senjata di Yemen

Malaysia menggesa semua pihak di Yemen agar menghormati gencatan senjata itu. – Gambar fail/REUTERS/Abduljabbar Zeyad

PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik pengumuman terbaharu oleh Arab Saudi, bagi pihak Gabungan Perintah Pasukan Bersama, untuk mengembalikan hak di Yemen dengan melaksanakan gencatan senjata sepihak selama dua minggu mulai Khamis (9 April).

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia menggesa semua pihak di Yemen agar menghormati gencatan senjata itu dan tidak menyertai sebarang tindakan yang mungkin boleh melemahkannya.

Kementerian itu atau lebih dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa keputusan itu memberi petunjuk bahawa gabungan berkenaan bersedia untuk menyokong gesaan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ia satu langkah positif ke arah gencatan senjata yang kekal.

Menurut Wisma Putra, Malaysia mengulangi sokongan penuhnya terhadap usaha untuk mencari satu penyelesaian keamanan terhadap konflik itu di Yemen menerusi dialog dan diplomasi.

"Malaysia menggesa semua pihak mengambil peluang gencatan senjata ini untuk berusaha ke arah objektif berkenaan," katanya.

— BERNAMA