Malaysia sedia uji vaksin dari China [METROTV]

MALAYSIA menawarkan diri untuk menjadi negara penguji kepada ujian klinikal vaksin yang kini dibangunkan China.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan perubatan republik itu yang kini berada di Malaysia memaklumkan vaksin itu kini pada peringkat kedua ujian klinikal.

Menurutnya, berdasarkan anggaran, ujian klinikal fasa dua vaksin berkenaan dapat disiapkan November hingga Disember depan.

“Jika keputusan ujian kedua positif, mereka akan memulakan ujian klinikal fasa ketiga selepas itu.

“Malaysia menawarkan diri untuk menjadi negara penguji untuk ujian klinikal fasa tiga dan kajian boleh dilakukan di sini (Malaysia),” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, pelbagai perkongsian idea dijana antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kumpulan pakar perubatan dari China dari segi kesihatan awam, makmal dan rawatan dalam menangani isu Covid-19.

Beliau berkata, ini kerana republik berkenaan berpengalaman dua bulan lebih awal berdepan wabak maut itu membolehkan mereka berkongsi pengalaman dalam menguruskan penularan dan rawatan yang digunakan.

“Covid-19 adalah virus baharu dan pengalaman mereka membantu kita untuk menguruskan apa tindakan dan pelan strategik yang boleh digunakan untuk menyekat penularan.

“Kita sudah ada pelan tindakan dan tengok apa yang sudah mereka lakukan (untuk menangani Covid-19). Ini satu perkongsian yang baik antara Malaysia dan China,” katanya.

Katanya, dalam perbincangan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, KKM juga turut mengemukakan beberapa isu yang boleh ditambah baik untuk mengurangkan lagi kes baharu dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19