Malu menumpang rumah mentua

Mumbai: Malu kerana terlalu lama tinggal di rumah keluarga mentua ekoran perintah berkurung akibat Covid-19, seorang lelaki di India merayu campur tangan ketua menteri.

Mohammed Abid membuat rayuan itu bagi membolehkan dia, isteri dan ahli rombongan pengantin lelaki pulang ke kampung mereka di Uttar Pradesh.

Hindustan Times melaporkan lelaki itu bersama sembilan ahli keluarga tiba di sebuah kampung di Bihar untuk majlis pernikahan dengan Salma Khatoon pada 19 Mac lalu.

Bagaimanapun, majlis akad nikah mereka berlangsung pada 24 Mac, hari sama perintah berkurung berkuat kuasa di negara itu.

Susulan itu, rombongan pengantin lelaki tinggal sementara waktu di rumah keluarga isteri selepas majlis perkahwinan.

Bagaimanapun, situasi itu menimbulkan kesulitan apabila bapa mentuanya kehabisan wang bagi menyediakan makanan kepada rombongan pengantin lelaki sehingga meminjam duit penduduk kampung.

“Tetamu ada maruah dan adab yang perlu diikuti, dalam budaya masyarakat India tidak elok tinggal terlalu lama di rumah orang.

“Saya harap Ketua Menteri (Bihar) Nitish Kumar memahami dan dapat menghulurkan bantuan,” rayu pengantin lelaki.

Bapa pengantin perempuan, Anrul Miyan berkata, dia mendapatkan bantuan kewangan daripada penduduk kampung membeli makanan kerana rasa hormat kepada keluarga menantu.

“Kami tidak cukup makanan selepas 14 hari perintah berkurung dan berharap ketua menteri dapat membantu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19