Mangsa banjir kini 20,100

Kuala Lumpur: Seramai 20,100 mangsa banjir direkodkan Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat jam 12 tengah hari dan mereka terdiri daripada 5,858 keluarga di enam negeri.

Dua kematian dicatatkan setakat ini membabitkan seorang lelaki di Kuantan, Pahang dan wanita di Kluang, Johor berdasarkan rekod Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Nadma, Pahang mencatatkan bilangan mangsa tertinggi dengan seramai 11,034 terdiri daripada 3,476 keluarga diikuti 7,240 mangsa di Johor membabitkan 1912 keluarga dan 815 mangsa di Terengganu meliputi 206 keluarga.

Manakala, Perak merekodkan 573 mangsa daripada 150 keluarga diikuti 322 mangsa membabitkan 78 keluarga di Kelantan dan 116 mangsa merangkumi 36 keluarga di Selangor .

Sehingga kini, sebanyak 268 Pusat Pemindahan (PP) dibuka bagi menempatkan semua mangsa di negeri terbabit.

KEADAAN rumah penduduk di Taman Slim Permai yang dilanda banjir. FOTO Sharul Hafiz Zam
KEADAAN rumah penduduk di Taman Slim Permai yang dilanda banjir. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan sebanyak 92 jalan ditutup berikutan banjir, banjir kilat, jalan runtuh, jambatan rosak dan runtuh, jalan mendap serta cerun runtuh.

Kebanyakan penutupan jalan dilaporkan berlaku di Johor dan Pahang serta beberapa laluan di Perak, Selangor dan Terengganu.