Mangsa tembak rempuh pelajar sekolah

Banting: Dua lelaki cedera selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di hadapan Sekolah Menengah Telok Datok, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, mangsa dipercayai ditembak oleh dua individu yang menunggang sebuah motosikal.

“Dua mangsa yang cedera ialah pengawal peribadi dan majikannya.

“Difahamkan, suspek mengekori kereta berkenaan seterusnya melepaskan tembakan dan siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa terkena beberapa das tembakan di dada dan beberapa bahagian badan.

“Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Banting dan masih diberi rawatan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semasa mangsa cuba melarikan diri melalui hadapan sekolah, kereta mereka merempuh beberapa pelajar sekolah dan beberapa kereta.

Katanya, sehingga kini tiga pelajar mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan leher dan ketiga-tiga mangsa masih dirawat di hospital untuk mengenalpasti kecederaan lanjut.

“Setakat ini, kita sedang mengenalpasti suspek dan motif kejadian dipercayai membabitkan pergaduhan antara dua kumpulan,” katanya.

Berita berkaitan

• Kesan tembakan di badan mangsa kemalangan