Marsha bersabar dulu…

IKUTKAN penyanyi dan pelakon Marsha Milan, 35, sudah boleh tersenyum apabila single terbaharunya berjudul Hello Hello sudah menemui pendengar.

Bagaimanapun, dia terpaksa bersabar seketika sehingga pandemik Covid-19 berlalu dan tidak lagi menghantui rakyat Malaysia.

“Jadual kerjaya saya sebenarnya banyak pada tahun ini antaranya menghasilkan single terbabit. Saya sebenarnya menandatangani kontrak bersama syarikat Monkey Bone lebih kurang dua bulan lalu dan diberi peluang menyanyikan lagu ciptaan Audi Mok itu.

“Sepatutnya ia akan dikeluarkan sebelum bulan ini, tapi tergendala kerana Covid-19. Mungkin tarikh baharu dipilih iaitu lepas Aidilfitri,” katanya.

Selain single itu, Marsha, 35, juga akan mengeluarkan lagu rakyat dalam bahasa Dusun berjudul Hiti Oku yang bermaksud Saya Di Sini.

“Ia ciptaan saya manakala lirik ditulis bersama Felix Agus kerana saya tak berapa pandai bahasa Dusun berbanding dia yang lebih mahir. Saya terbitkan lagu ini bersama Velvet yang banyak membantu merealisasikan lagu ini.

SERONOK dapat menghabiskan masa sepanjang Ramadan bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam dan keluarga.
SERONOK dapat menghabiskan masa sepanjang Ramadan bersama suami, Mohamed Shaiful Nizam dan keluarga.

“Susunan lagu pula dibuat seorang rakan di Sabah. Tak dinafikan banyak benda yang tergendala kerana Covid-19. Namun alhamdulillah projek ini berjaya juga diteruskan,” katanya.

Rezeki turut memihak kepada bintang kelahiran Akademi Fantasia 3 ini apabila dilamar sebagai hos satu pertandingan nyanyian.

“Program anjuran sebuah stesen TV ini akan bermula sama ada pada pertengahan atau hujung Mei ini. Setakat ini ia masih dalam peringkat perbincangan dan saya tak boleh bercerita lanjut,” katanya.

Tanpa aktiviti seni, Marsha memanfaatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menjual baju berjenama Marsha secara dalam talian.

“Saya bergabung dengan Seth & Luna dalam perniagaan ini. Alhamdulillah ada yang sudah habis stok kerana kami sudah mulakan promosi sejak Februari lagi.

“Selain itu saya bergabung dengan sepupu suami membuat nasi daging dan air asam untuk dijual minggu depan. Ia adalah resipi turun-temurun keluarga suami yang diwarisi daripada neneknya,” katanya.

Seronok solat Tarawih

Marsha yang hampir lima tahun bergelar isteri kepada Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail mengakui tidak kekok untuk berpuasa.

“Sebelum memeluk Islam saya memang pernah berpuasa. Cuma tak pernah lagi berpuasa penuh sebab masa itu sengaja ikut kawan. Saya hanya fikir cuba nak puasa penuh.

“Awalnya rasa susah nak sesuaikan diri kerana tak boleh makan dan minum. Apabila masuk Islam baru saya tahu ada ‘undang-undang’ lain lagi yang tak boleh buat selama kita berpuasa. Nak kata mencabar memanglah, cuma tidaklah teruk sangat. Alhamdulillah tahun pertama berpuasa sebagai Muslim bukan masalah sangat. Suami pun banyak bagi semangat dan bimbing saya sepanjang Ramadan,” katanya yang lama-kelamaan dapat membiasakan diri.

Tahun ini Marsha dapat menghabiskan masa dengan keluarga sepanjang Ramadan kerana mematuhi PKP.

“Sebelum PKP saya menjalani penggambaran tanpa henti sehinggakan masa dengan keluarga terutama suami agak singkat. Sekarang saya dapat bercuti dan menghabiskan masa di rumah.

Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Saya sangat gembira kerana dapat mengerjakan solat Tarawih dengan keluarga.

“Rumah yang didiami kami ada 15 ahli keluarga. Jadi sangat seronok apabila kami dapat bertarawih secara berjemaah,” katanya.

Menurutnya, dia juga produktif memasak pelbagai jenis makanan.

“Waktu inilah suami nak makan itu, ini dan saya pun buatkan. Alhamdulillah dia puji masakan saya sedap,” katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarga mentua.

MARSHA gunakan tempoh PKP menjual pakaian secara dalam talian.
MARSHA gunakan tempoh PKP menjual pakaian secara dalam talian.